Asia e University lantik KP SPRM sebagai Professor of Practice

Asia e University lantik KP SPRM sebagai Professor of Practice

am@hmetro.com.my

Subang Jaya: Pengalaman lebih 30 tahun Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam bidang integriti mendapat pengiktirafan melalui penganugerahan Professor of Practice Asia e University (AeU).

Penganugerahan itu disampaikan Pengerusi Lembaga Pengarah AeU, Profesor Emeritus, Tan Sri Dr Syed Jalaludin Syed Salim sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SPRM dan AeU di Kampus AeU di sini, hari ini.

Ia sebagai pengiktirafan kepada Azam yang memiliki lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang integriti selain memacu SPRM mencapai misi dan visinya melalui kepimpinan berintegriti serta komitmen terhadap keadilan.

Azam dalam ucapannya merakamkan setinggi penghargaan atas pengiktirafan yang diterima khususnya dan kepada SPRM amnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, penganugerahan berkenaan dan pemeteraian MoU itu akan membuka ruang kepada kerjasama baharu dalam pencegahan rasuah.

“Tujuan kerjasama ini diadakan untuk melahirkan pegawai-pegawai SPRM berpendidikan tinggi melalui program Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL.Q) sekali gus memainkan peranan penting dalam sektor pendidikan dan pelaksanaan polisi antirasuah.

“Program APEL.Q adalah program yang mengiktiraf pengalaman pegawai dalam kerjaya untuk menyambung pengajian ke peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran dalam tempoh lebih singkat iaitu 12 hingga 18 bulan,” katanya dalam ucapannya.

Pada majlis MoU berkenaan, SPRM diwakili oleh Mohd Hafaz manakala AeU diwakili Naib Canselornya, Profesor Dr Noor Raihan Ab Hamid dengan disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengasas dan Presiden AeU, Profesor Datuk Dr Ansary Ahmed.

Ansary dalam ucapannya berkata, kepimpinan Azam yang teguh, berpengalaman luas, berkomitmen tinggi dan usaha tanpa henti dalam meningkatkan integriti perkhidmatan awam menjadi panduan serta inspirasi kepada kakitangan dan pelajar AeU.

“Kerjasama yang terjalin ini bukan sebagai simbolik semata-mata, ia dilaksanakan atas nilai etika kepimpinan, tadbir urus yang baik, berintegriti dan cemerlang dalam pendidikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top