Asia Tenggara semakin dicengkam varian Delta

Asia Tenggara semakin dicengkam varian Delta

JAKARTA: Asia Tenggara dilihat berpotensi keluar dari ancaman terburuk COVID-19 tahun lalu, namun hari ini kes meningkat mendadak lagi ketara baik dari segi jangkitan atau kematian.

Kekurangan vaksinasi dan kemunculan pelbagai varian baharu yang lebih ganas membayangkan masa depan agak suram dalam usaha menyekat penularan wabak itu.

Ketika negara lain seperti Britain, Jerman dan Perancis bersedia menamatkan sekatan, Asia Tenggara pula semakin mengetatkan perintah berkurung dan berharap dapat membendung kenaikan kes yang bermula sejak Mei lalu.

Indonesia, negara yang paling teruk dilanda wabak dan berpenduduk paling ramai di Asia Tenggara, merekodkan 38,391 kes semalam iaitu enam kali ganda berbanding awal bulan lalu dengan kematian berganda sejak awal Julai.

Hospital di kepulauan Jawa kini berada pada tahap maksimum dengan bekalan oksigen yang rendah serta keperluan menggali lebih banyak kubur berikutan kematian COVID-19 terus meningkat.

Kematian tinggi juga dilaporkan di Malaysia dan Thailand mula menyekat perjalanan dalam negeri selepas varian Delta yang mengganas di Indonesia mula menular di sekitar Bangkok.

Satu terminal baharu di lapangan terbang negara itu juga sudah ditukar kepada hospital lapangan dengan 5,000 katil.

Di Myanmar, 4,00 kes baharu dicatat buat pertama kali semalam manakala Kemboja juga menyaksikan peningkatan kes jangkitan serta kematian yang tinggi dalam tempoh sembilan hari lalu.

Pakar kesihatan berkata ujian saringan yang rendah di negara berpenduduk tinggi seperti Indonesia dan Filipina mengakibatkan jangkitan cepat merebak manakala program itu tergendala di Myanmar bermula sejak rampasan kuasa Februari lalu.

Vietnam yang mempunyai reputasi cemerlang dalam membendung virus, kini turut terancam dengan kenaikan kes dalam tempoh tiga hari berbanding 13 bulan pertama pandemik.

Ahli epidemiologi di Griffith University, Dicky Budiman, berkata wilayah negara itu bergelut untuk mengatasi varian Delta, kesan daripada strategi dan penguatkuasaan protokol yang tidak konsisten.

Beliau berkata, keperluan untuk memperluaskan rangkaian vaksin perlu dilakukan dan ketika ini, vaksin dari China, Sinovac, mendominasi program inokulasi ketika bekalan jenama Barat dilihat tidak tersedia.

“Ada manfaat dengan vaksin tetapi ada juga kelemahannya. Dalam menangani wabak berskala besar, vaksin tidak boleh bertahan sendiri. Ia perlu dipelbagaikan dengan sumber berbeza,” katanya.

Jumlah vaksinasi di rantau ini masih rendah dengan Indonesia hanya 5.4 peratus divaksin dari 270 juta penduduk, 2.7 peratus di Filipina manakala 4.7 peratus di Thailand.

Malaysia sudah memvaksin 9.3 peratus daripada 32 juta penduduk dan kini meneruskan perintah berkurung.

Indonesia dan Thailand kini mempertimbangkan untuk melakukan suntikan vaksin mRNA seperti Moderna dan Pfizer-BioNTech/Cominarty kepada pekerja kesihatan mereka yang sebahagian besar mendapat vaksin Sinovac dari China.

Singapura menjadi negara di rantau ini yang bertindak segera dan pihak berkuasa dijangka akan meringankan sekatan ketika varian Delta dikesan, malah akan menyelesaikan inokulasi separuh penduduknya pada akhir bulan ini. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top