KUALA LUMPUR: Pempengaruh media sosial, Ahmad Aslam, enggan mengulas lanjut berhubung prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk terhadap isteri keduanya, Marissa Dania Hakim yang berlangsung di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.
Aslam yang hadir bersama Marissa bagaimanapun berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan rumah tangga mereka.
“Maaf, saya tiada apa-apa untuk dikomen. Saya minta semua doakan yang baik-baik sahaja. Insya-Allah,” katanya ringkas ketika ditemui Utusan Malaysia di mahkamah berkenaan hari ini.
Sementara itu, peguam mewakilinya, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri berkata, mahkamah belum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pengesahan status perkahwinan pasangan terbabit.
Menurut beliau, perkara itu disebabkan terdapat pelbagai isu melibatkan hukum syarak dan perundangan yang perlu diperhalusi.
“Mahkamah belum dapat membuat keputusan kerana terdapat banyak isu yang perlu diteliti.
“Beberapa perkara memerlukan penelitian lanjut termasuk pandangan daripada kitab-kitab fuqaha serta rujukan fiqh yang muktabar.
“Sehubungan itu, mahkamah menetapkan satu tarikh baharu bagi menyambung prosiding untuk pihak defendan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ammar memaklumkan defendan, Marissa tidak diwakili peguam, sebaliknya hanya mendapatkan khidmat nasihat daripadanya selaku peguam pihak plaintif.
Bagaimanapun, tarikh prosiding seterusnya tidak didedahkan kepada umum atas permintaan kedua-dua pihak.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pasangan berkenaan masih tinggal sebumbung sepanjang tempoh prosiding mahkamah berlangsung.
“Berdasarkan keterangan yang diberikan, mereka hadir bersama dan masih tinggal bersama. Namun, jika ada perkara sebaliknya, saya tidak pasti,” ujarnya. -UTUSAN




