ASNB umum agihan pendapatan ASB 2, ASM

ASNB umum agihan pendapatan ASB 2, ASM

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini mengumumkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM2.36 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac ini untuk Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2) dan Amanah Saham Malaysia (ASM).

PNB dalam kenyataan memaklumkan ASB 2 mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM0.82 bilion bersamaan 5.50 sen seunit kepada 680,141 pemegang unit yang kini memiliki 15.88 bilion unit.

Katanya, ASM mengisytiharkan jumlah pembayaran pengagihan pendapatan sebanyak RM1.54 bilion iaitu bersamaan 5.00 seunit kepada 786,088 pemegang unit dengan pegangan 31.22 bilion unit.

“Sehingga 24 Mac lalu, ASB 2 merekodkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM0.90 bilion, manakala ASM mencatatkan RM1.64 bilion.

“Kedua-dua dana mencatatkan pulangan yang kompetitif dan mampan dengan pengagihan dividen setara dengan tahun kewangan sebelumnya,” katanya.

Menurutnya, prestasi itu dicapai walaupun berdepan persekitaran global yang mencabar, dipengaruhi oleh pertumbuhan ekonomi tidak sekata, ketidaktentuan pasaran serta peningkatan ketegangan geopolitik.

“Dalam menghadapi persekitaran ini, pendekatan peruntukan aset berdisiplin berlandaskan peruntukan aset strategik jangka panjang.

“Ia memberi penekanan terhadap kepelbagaian portfolio merentasi pendapatan tetap, hartanah dan pelaburan persendirian yang terbukti berkesan dalam menguruskan volatiliti pasaran.

“Ini khususnya peruntukan lebih tinggi kepada aset pendapatan tetap sekali gus memberikan kestabilan dan konsistensi pendapatan lebih kukuh dalam tempoh ketidakpastian yang meningkat,” katanya.

Katanya, pengagihan pendapatan ASB 2 dan ASM adalah bersamaan dengan jumlah pulangan masing-masing sebanyak 5.50 peratus dan 5.00 peratus.

“Kedua-duanya mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank pada 2.18 peratus masing-masing 332 mata asas untuk ASB 2 dan 282 mata asas untuk ASM.

“Pengiraan pengagihan pendapatan untuk ASB 2 dan ASM adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi setiap dana.

“Pengagihan yang diisytiharkan oleh dana-dana itu akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2026,” katanya.

Menurutnya, urus niaga ASB 2 dan ASM di cawangan-cawangan dan ejen-ejen ASNB termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet akan ditangguhkan sementara dari 27 hingga 31 Mac 2026 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

“Pemegang unit boleh menyemak pengagihan pendapatan dan meneruskan transaksi di portal myASNB, aplikasi mudah alih myASNB, di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 April nanti.

Katanya, ASNB memperkenalkan kempen Raya Ceria Raya Bijak pada musim perayaan ini bermula 24 Mac hingga 30 April 2026.

“Ia sejajar dengan visi jangka panjang ASNB melalui inisiatif Kita Generasi Labur bagi melahirkan generasi berdisiplin kewangan dan bersedia menguasai masa depan.

“Inisiatif ini bertujuan menggalakkan ibu bapa dan penjaga untuk menyalurkan duit raya anak-anak ke dalam pelaburan demi masa depan mereka selain memupuk amalan kewangan positif sejak usia muda.

“Sebagai nilai tambah, pemegang unit kanak-kanak baharu turut berpeluang menebus barangan eksklusif Along di cawangan ASNB terdekat sekali gus meningkatkan penglibatan dan pengalaman pelaburan awal mereka,” katanya.

Selain itu, katanya, ASNB juga mengeluarkan unit tambahan bagi ASB 3 Didik bermula 25 Mac ini.

“Inisiatif itu bertujuan memberikan akses lebih luas kepada pemegang unit terhadap dana harga tetap ASNB.

“Ia membolehkan mereka menikmati pulangan yang stabil dan kompetitif sambil menyokong perancangan kewangan jangka panjang untuk diri mereka serta aspirasi masa depan keluarga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top