Aspek mental cabaran terbesar Harimau Muda berdepan Brunei

Aspek mental cabaran terbesar Harimau Muda berdepan Brunei
Skuad Harimau Muda berdepan misi hidup mati menentang Brunei selepas tewas kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN B-23 pada Selasa. FOTO: MALAYSIA NT

Skuad Harimau Muda berdepan misi hidup mati menentang Brunei selepas tewas kepada Filipina dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN B-23 pada Selasa. FOTO: MALAYSIA NT

JURULATIH berpengalaman, Raja Isa Raja Akram Shah menyifatkan cabaran terbesar yang menanti skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara menjelang aksi menentang Brunei bukan terletak pada kekuatan teknikal semata-mata, tetapi lebih kepada ketahanan mental dan psikologi pemain muda negara.

Raja Isa, menegaskan kekalahan 0-2 kepada Filipina dalam aksi pembukaan Piala ASEAN B-23 pada Selasa lalu memberi kesan besar terhadap keyakinan dan emosi pemain muda negara yang kini memerlukan sokongan psikologi menyeluruh.

“Cabaran utama pemain kita bukan hanya di atas padang, tetapi juga dalam minda mereka.

“Jika unit psikologi gagal memainkan peranan secara efektif, saya khuatir pemain akan ‘tewas’ dari segi mental lebih awal,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tambah beliau, aspek kawalan emosi serta penyesuaian terhadap tekanan perlawanan perlu ditangani sejak awal permainan agar pemain dapat mengekalkan fokus dan prestasi konsisten sepanjang 90 minit.

“Keyakinan diri tidak boleh dibentuk secara umum. Ia perlu diasah menerusi komunikasi peribadi dan pendekatan individu oleh pakar psikologi sukan kepada setiap pemain,” katanya lagi.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain kini berada dalam situasi genting selepas kekalahan kepada Filipina, manakala Brunei turut berdepan tekanan hebat selepas dibelasah 0-8 oleh tuan rumah, Indonesia dalam aksi pertama mereka.

Raja Isa berpandangan kedua-dua pasukan bakal turun dengan misi sama memburu kemenangan bagi menghidupkan semula peluang ke pusingan kalah mati.

“Saya percaya Brunei akan turun habis-habisan dalam perlawanan ini dan mungkin menggunakan pendekatan sama seperti yang dilakukan Filipina.

“Justeru, pemain negara perlu lebih bersedia melakukan transisi permainan dengan lebih pantas serta beraksi sebagai satu unit kukuh sama ada ketika menyerang atau bertahan,” ujarnya.

 

 

Scroll to Top