saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bakal menganjurkan majlis Anugerah Sukan Pekak Negara 2025 (ASPN 2025) kali kedua, yang dijadual berlangsung pada Khamis ini.
Setiausaha Agong MSDeaf, Kamarzaman Harun berkata, penganjuran ASPN 2025 bertujuan menghargai pengorbanan atlet-atlet pekak yang mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, selain mengiktiraf sumbangan individu serta organisasi yang komited menyokong kemajuan sukan pekak sejak MSDeaf ditubuhkan pada 1997.
“Tujuan utama MSDeaf mengadakan majlis anugerah ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan atlet-atlet pekak yang memenangi pingat untuk negara serta kepada individu-individu yang memberi sumbangan bakti kepada pembangunan sukan pekak negara sejak MSDeaf ditubuhkan pada 1997 lalu,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada edisi kali ini, sebanyak tujuh anugerah utama akan disampaikan merangkumi Anugerah Kepimpinan Sukan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Jurulatih Kebangsaan, Anugerah Khas, Anugerah Olahragawan Harapan Pekak Lelaki, Anugerah Olahragawan Harapan Pekak Wanita, serta Anugerah Olahragawan Pekak Lelaki dan Wanita.
Katanya lagi, majlis ASPN 2025 akan diserikan dengan kehadiran Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Dr K Nagulendran.
Turut dijemput sebagai tetamu istimewa ialah Datuk Bandar Miyoshi Town, Saitama, Jepun, Isao Hayashi, bersama delegasi Miyoshi Town.
Beliau akan menerima Anugerah Khas sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Miyoshi Town yang menaja latihan pusat selama dua minggu kepada kontinjen pekak Malaysia, menjelang penyertaan mereka di Sukan Deaflympics ke-25 di Tokyo pada November tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




