Paris, Perancis: Aston Villa akan berdepan Lille buat kali kedua dalam tempoh tiga musim selepas kedua-dua pasukan diundi bertemu dalam pusingan 16 terbaik Liga Europa hari ini manakala Nottingham Forest pula bertemu semula kelab Denmark, Midtjylland.
Skuad kendalian Unai Emery yang menamatkan saingan fasa liga musim ini di tempat kedua di belakang satu lagi kelab Perancis, Lyon akan bertandang ke utara Perancis untuk perlawanan pertama pada 12 Mac sebelum aksi timbal balik di Birmingham pada 19 Mac.
Villa yang tersingkir kepada Paris Saint-Germain pada suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu, sebelum ini menewaskan Lille menerusi penentuan sepakan penalti dalam suku akhir Liga Konferens pada 2024.
Memandangkan undian dibuat sehingga ke perlawanan akhir, Villa sudah mengetahui jika mereka menewaskan Lille, mereka akan menentang pemenang pertembungan sesama kelab Itali antara Bologna dan Roma di peringkat suku akhir.
Forest yang layak ke pusingan 16 selepas menewaskan Fenerbahce dalam pusingan play-off, sebelum ini tewas 2-3 di laman sendiri kepada Midtjylland dalam saingan fasa liga.
Midtjylland yang kini berada di tangga kedua liga utama Denmark, menamatkan fasa liga 36 pasukan di tempat ketiga.
Jika Forest berjaya memenangi perlawanan ini, mereka akan mara ke suku akhir menentang sama ada juara Piala Jerman, VfB Stuttgart atau bekas juara dua kali, FC Porto.
Turut berpotensi berlaku adalah separuh akhir sesama kelab England, Forest dan Villa akan bertemu jika kedua-duanya mara sejauh itu.
Lyon berdepan ujian getir menentang kelab La Liga, Celta Vigo, manakala pengendali Panathinaikos, Rafael Benitez, bakal kembali ke Sepanyol apabila kelab Greece itu menentang Real Betis.
Ferencvaros kendalian Robbie Keane akan berdepan Braga, manakala Freiburg menentang wakil Belgium, Genk.
Perlawanan akhir Liga Europa musim ini akan berlangsung di gelanggang Besiktas di Istanbul pada Rabu, 20 Mei.
Undian Pusingan 16 Terbaik Liga Europa
Genk (BEL) lwn Freiburg (GER)
Bologna (ITA) lwn Roma (ITA)
Ferencvaros (HUN) lwn Braga (POR)
Stuttgart (GER) lwn Porto (POR)
Panathinaikos (GRE) lwn Real Betis (ESP)
Nottingham Forest (ENG) lwn Midtjylland (DEN)
Celta Vigo (ESP) lwn Lyon (FRA)
Lille (FRA) lwn Aston Villa (ENG)
Perlawanan pertama: 12 Mac, perlawanan kedua: 19 Mac
© New Straits Times Press (M) Bhd




