redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bakal menyambut Jubli Mutiara, menandakan 30 tahun penubuhannya sebagai institusi pengajian seni terulung di negara menerusi persembahan teater muzikal istimewa bertajuk Sakti Merong Mahawangsa.
Pendaftar Aswara, Amirudin Mad Yusof berkata, sambutan ulang tahun itu menyaksikan kerjasama erat antara Aswara dan Persatuan Alumni Aswara yang turut sama berusaha mempromosikan kelestarian seni, budaya dan warisan tanah air.
Menurutnya, persembahan teater muzikal Sakti Merong Mahawangsa iaitu sebuah karya epik yang menghimpunkan naratif sejarah, kesenian, dan budaya yang penuh inspirasi adalah acara kemuncak bagi meraikan sambutan berkenaan.
“Pementasan teater Sakti Merong Mahawangsa adalah interpretasi moden dan dinamik terhadap legenda sejarah negara yang mengisahkan perjalanan Merong Mahawangsa membina Kedah Zamin Turan, yang kini dikenali sebagai negeri Kedah.
“Teater itu dipilih sebagai simbol semangat Aswara yang tidak kenal putus asa dalam memelihara sekali gus mengangkat nilai seni dan warisan negara.
“Kisah Merong Mahawangsa melambangkan perjuangan Aswara dalam menempuhi cabaran dan dedikasinya yang teguh terhadap seni dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan media.
Amirudin berkata, Merong Mahawangsa melambangkan keperibadian yang amanah, cekal, dan setia serta seiring dengan nilai diterapkan oleh Aswara sejak dulu lagi.
“Pementasan teater itu diharap dapat memperlihatkan bukan saja bakat dan komitmen alumni Aswara tetapi juga aspirasi kami untuk terus memperkasa budaya dan kesenian negara.
“Teater itu akan menampilkan juga bakat alumni Aswara, sebagai tanda penghargaan terhadap kejayaan mereka di persada seni tanah air antaranya pelakon seperti Aris Kadir, Ezdianie Hayatie, Hairi Safwan, Fadhli Masoot, Saiful Wazien, Amirul Hakim, Fiza Thomas, Aznie, Mei Fen, Najua P Ramlee, Ewan Fauzi, Syrul Ezwan, Reza Mohamed dan Hafizam.
“Pementasan bermula 22 sehingga 24 November depan dan bakal diadakan bertempat di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) dengan pengisian program utama seperti Mainenee Show, Gala Night Show dan Ekspresi Merong-Alumni Homecoming,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



