najiy.jefri@hmetro.com.my
PENYANYI baharu, Asya’B melangkah penuh keyakinan dalam industri seni suara dengan melancarkan single sulung berjudul Sayang Padamu.
Lagu ini bukan sahaja menjadi titik permulaan kariernya, malah menampilkan gabungan kreatif penerbit terkenal tanah air, Zul 2By2 dan Bajai bersama barisan pemuzik berbakat.
Sebagai penulis lirik lagu itu, Asya’B, 34, berharap karyanya itu dapat meninggalkan kesan mendalam di hati pendengar.
Menceritakan pengalaman sepanjang penghasilan lagu, Asya’B berkata, Sayang Padamu adalah kerjasama erat antara beberapa nama besar dalam industri muzik.
“Lagu ini disusun oleh Zul 2By2 dan Bajai bersama pemuzik lain seperti Jun (dram), Yin (bass) dan Jay Curgat (gitar). Saya amat bersyukur diberi peluang bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Sebagai langkah mempromosikan Sayang Padamu, Asya’B kini sibuk menjelajah ke beberapa stesen radio di seluruh Malaysia.
Aktiviti promosi ini dilakukan untuk memperkenalkan dirinya sebagai pendatang baharu kepada lebih ramai pendengar.
“Saya kini giat mempromosikan single pertama saya ke beberapa radio tempatan. Semoga usaha ini membuahkan hasil.
“Dalam masa sama, saya juga dalam perancangan untuk menghasilkan sambungan lagu ini.
“Impian saya adalah untuk meluaskan lagi pengaruh seni saya ke pasaran antarabangsa seperti Indonesia, Brunei dan Singapura,” katanya dengan penuh harapan.
Penyanyi kelahiran Singapura ini juga mendedahkan impiannya untuk mendekati peminat secara lebih dekat melalui persembahan langsung.
Tambahnya, dia kini dalam perbincangan bersama pasukannya bagi menganjurkan sebuah mini konsert yang bakal membabitkan selebriti tempatan.
“Saya dan pasukan berbincang mengenai penganjuran mini konsert bersama beberapa artis lain.
“Siapa artisnya? Kita biarkan sebagai kejutan. Insya-Allah, saya juga berharap dapat bertemu dengan idola saya suatu hari nanti,” katanya.
Biarpun berasal dari Kota Singa, namun Asya’B tidak menyangka dengan sambutan positif yang diterimanya daripada peminat Malaysia.
“Alhamdulillah, sambutan di Malaysia amat luar biasa. Ini memberikan saya semangat untuk terus berkarya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Asya’B turut menyumbang bakatnya kepada projek bersama penyanyi Zack Zakwan.
Sebagai artis baharu, Asya’B mengakui cabaran dalam membina nama tidak pernah mematahkan semangatnya. Sebaliknya, beliau melihat setiap cabaran sebagai peluang untuk memperbaiki diri dan mempelajari lebih banyak ilmu seni.
Menurutnya, perjalanan ini adalah satu pengalaman yang berharga dan mengajarnya tentang kesabaran serta kecekalan.
“Saya percaya industri muzik kita mempunyai banyak bakat besar. Dengan usaha yang berterusan, kita mampu ke peringkat lebih tinggi.
“Perjalanan ini baru sahaja bermula dan saya berjanji akan terus memberikan yang terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



