Asyraf Wajdi arah IKM sedia keperluan keluarga mangsa nahas

Asyraf Wajdi arah IKM sedia keperluan keluarga mangsa nahas

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sudah mengarahkan pihak pengurusan Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu untuk menyediakan keperluan kepada ahli keluarga mangsa nahas di Tuaran, petang tadi.

Asyraf Wajdi berkata beliau turut meminta Pengarah MARA Sabah membantu mempermudahkan urusan jenazah kelima-lima mangsa berkenaan.

“Takziah kepada keluarga mangsa dan didoakan kesemuanya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Asyraf Wajdi memaklumkan beliau menerima perkhabaran menyedihkan sebaik tiba di Sabah hari ini.

“Saya dimaklumkan oleh Pengarah MARA Sabah bahawa kelima-lima terbunuh dalam kemalangan di Jalan Sulaman, berhampiran Pusat Latihan Rela, Tuaran, petang ini.

“Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang sebentar tadi, semua mangsa lelaki berusia 19 hingga 20 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Difahamkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan Toyota Wish, dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.

Terdahulu dilaporkan mangsa nahas membabitkan Harianto Anuar, 20; Neil Stanly Pletinie, 20; Mohammad Ikhwan Kurniawan, 20; Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy, 20 manakala seorang lagi lelaki masih belum dikenal pasti identitinya.

Kesemua mereka sedang dalam perjalanan dari arah Sepanggar menuju ke Kota Belud. Kenderaan dinaiki mereka dikatakan dirempuh sebuah lori membawa muatan batu kelikir yang datang dari arah bertentangan, selepas Toyota Wish dipercayai terbabas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top