Tindakan menyingkirkan mana-mana menteri, timbalan menteri atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam Kerajaan Perpaduan disifatkan hanya akan menyebabkan perjanjian pembentukan kerajaan itu terlerai.

Memetik laporan Harian Metro, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara berkenaan telah dipersetujui menerusi perjanjian yang dimeterai ketika Kerajaan Perpaduan dibentuk pada tahun 2022.
“Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) cakap itu adalah kuasa mutlak Perdana Menteri, tetapi Perdana Menteri pun kena faham beliau terikat perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Itu sebab setiap portfolio menteri, timbalan menteri, GLC dan agensi kerajaan ditentukan serta disepakati melalui perjanjian berkenaan.
“Kalau nak disingkirkan mana-mana menteri dan pengerusi GLC, maka dengan sendiri terlerailah perjanjian dan bagi saya, lebih baik kita serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota, malam tadi.
Asyraf Wajdi mengulas peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meminta pemimpin Kerajaan Perpaduan menjaga disiplin serta tidak menyerang kerajaan sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan.
Menurutnya, isu saling menyerang tidak sepatutnya berlaku sekiranya semua pemimpin memahami asas pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diwujudkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
“Jangan kita berterusan bersikap begini kerana kalau kita faham asas ini, saya rasa tidak timbul soal serang-menyerang seperti apa berlaku di Johor.
“Fokus kepada kempen secara berhemah, ceritakan apa yang ditawarkan kepada rakyat seperti mana kita buat di Johor dan kali ini di Negeri Sembilan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mendakwa terdapat parti yang bertanding pada PRN Negeri Sembilan masih memainkan sentimen politik murahan bagi meraih sokongan, termasuk terus melemparkan fitnah terhadap Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, pendekatan sedemikian perlu dihentikan kerana ia hanya mengulangi taktik yang pernah digunakan ketika PRN Johor sebelum ini.
Artikel lain: “Fenomena ‘Onn tak Onn’ ini sebenarnya fenomena yang ‘real’” -Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi berkata, kempen PRN Johor membuktikan pihak lawan ketandusan idea apabila memainkan dakwaan kononnya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, akan dibebaskan sekiranya BN memenangi pilihan raya tersebut.
“Perkara sebaliknya berlaku apabila rakyat di Johor tidak termakan sentimen berkenaan dan memilih BN,” tambahnya lagi.
Sumber: Harian Metro (Fareez Azman)




