Atalanta benam Sampdoria, terus kejar Juve

Atalanta benam Sampdoria, terus kejar Juve

BERGAMO, Itali: Atalanta mengatasi Sampdoria 4-0 awal pagi tadi dalam aksi Serie A untuk terus mengejar Juventus dalam pemburuan ke Liga Juara-Juara.

Gol awal Mario Pasalic serta jaringan pada kedua-dua babak oleh Teun Koopmeiners dan penyudah lewat permainan Aleksei Miranchuk memastikan Atalanta kekal tiga mata di belakang Juve, yang berkedudukan keempat selepas kemenangan di Empoli Sabtu lalu.

Skuad kendalian Gian Piero Gasperini masih ada satu perlawanan kurang yang jika dimenangi mereka, akan membolehkan kelab itu mengatasi Juve berdasarkan rekod antara pasukan itu.

Gaya serangan dipamerkan di Stadium Gewiss memberikan Atalanta kemenangan kedua daripada lapan aksi Serie A tahun ini, menamatkan lima aksi liga tanpa kemenangan.

Ia juga kemenangan liga pertama di laman sendiri sejak penghujung November, keempat di Bergamo sepanjang musim. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top