Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Kunjungan atas dasar persahabatan
Menerusi hantaran yang dikongsi di media sosial, Anwar menyatakan, kunjungan itu dibuat atas dasar persahabatan, selain turut menziarahi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah Yusof yang sedang mendapatkan rawatan di IJN.
“Atas dasar persahabatan, kami turut menziarahi bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang juga sedang menerima rawatan di IJN dan masih memerlukan pemantauan lanjut,” tulisnya.
Ziarah TPM Fadillah yang berada di IJN juga
Anwar turut memaklumkan keadaan kesihatan Fadillah semakin baik, namun masih memerlukan rehat secukupnya atas nasihat pasukan perubatan.
Beliau bersama Azizah turut mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan segera serta dipermudah segala urusan rawatan.
“Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara, insya-Allah,” ujarnya.

Sebelum ini, Ismail dikhabarkan berada dalam keadaan kurang sihat apabila secara tiba-tiba rebah di kediaman beliau sebelum dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta untuk menerima rawatan.
Dalam pada masa yang sama, Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pula dimaklumkan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) atas nasihat pasukan pakar perubatan.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim




