Paris: Atlet remaja Algeria, Kaylia Nemour mempamerkan persembahan terbaik dalam hidupnya untuk muncul rakyat Afrika pertama memenangi pingat dalam sukan gimnastik di Olimpik iaitu emas menerusi acara palang bertingkat, hari ini.
Atlet berusia 17 tahun yang dilahirkan di Perancis itu mengatasi Qiu Qiyuan dari China manakala Sunisa Lee dari Amerika Syarikat (AS) meraih pingat gangsa.
Juara bertahan, Nina Derwael dari Belgium menamatkan saingan di tempat keempat.
“Saya sangat terkejut, ini adalah impian sepanjang hidup saya. Saya tidak percaya ia berlaku sekarang. Saya hilang kata-kata,” kata Kaylia.
Persembahan akrobatik yang menakjubkan oleh Kaylia membolehkannya meraih 15.700 mata untuk mengetepikan juara dunia, Qiu, 17 tahun, di kedudukan pingat perak dengan 15.500 mata.
“Dalam kelayakan saya mendapat 15.600 mata, apabila saya melihat 15.500 diraihnya, saya berkata, saya benar-benar perlu berjuang dan memberikan persembahan terbaik dalam hidup saya.
“Ia gila, saya amat bangga memenangi pingat ini selepas semua yang telah berlaku, ia adalah satu kelegaan,” kata Kaylia dari Algeria.
Kaylia beralih untuk mewakili negara bapanya selepas persekutuan Perancis menghalangnya daripada beraksi atas alasan perubatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




