Melaka: Usia bukan halangan buat Gabriel Lazaro apabila atlet berusia 50 tahun dari Sepanyol itu menjuarai acara triathlon jarak Olimpik pada Festival Endurance Antarabangsa Melaka 2025 di Encore Melaka, Klebang, semalam.
Lazaro yang juga eksekutif agensi insurans berpangkalan di Singapura menamatkan saingan renang 1.5 kilometer (km), berbasikal 40km dan larian 10km dengan catatan 2 jam 22 minit 47 saat, meninggalkan wakil Selangor, Faiz Rahim (2:26:52) dan Goh Guan Xi (2:29:56).
“Ia perlumbaan pertama saya di Melaka dan saya lakukannya di depan isteri serta dua anak lelaki. Ia memang detik bermakna,” kata Lazaro yang sudah 20 tahun terbabit dalam acara ini dan pernah menjuarai triathlon di Miami serta New York ketika bekerja di Amerika Syarikat.
Lazaro bakal menyertai Kejohanan Dunia Ironman 70.3 di Marbella, Sepanyol pada 9 November ini, sebelum mengejar impian beraksi di Kejohanan Dunia Ironman di Kona, Hawaii tahun depan.
Sementara itu, Faiz, 30, yang berasal dari Gombak menganggap pencapaian kali ini sebagai pembakar semangat untuk terus mengukir nama secara profesional.
“Saya pernah tinggalkan triathlon selepas Covid-19 kerana rasa tak mampu bersaing. Tapi tahun ini saya kembali sebagai atlet sepenuh masa dengan bantuan penaja. Hasilnya, saya lebih cergas berbanding sebelum ini,” katanya yang mensasarkan penampilan di Ironman Langkawi, November nanti.
Bagi kategori wanita, Nami Kanai muncul juara dengan catatan 2:49:51, diikuti Adel Zulin Sim (3:13:38) dan Norazian Manaf (3:23:33).
Festival kali ini mencatat sejarah apabila menghimpunkan atlet triathlon, duathlon dan aquathlon sekali gus buat kali pertama sejak penganjuran sulung pada 2018, dengan penyertaan lebih 1,000 atlet serta kira-kira 1,500 penyokong.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Datuk Shadan Othman yang turut melepaskan peserta berkata, kejayaan penganjuran itu secara tidak langsung mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan sukan.
“Ramai penyertaan luar Melaka, malah antarabangsa. Ia membuktikan acara ini mendapat pengiktirafan dan kita berbangga dapat menganjurkannya di sini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




