
Tangkap layar ucapan takziah MSN Terengganu buat keluarga Siti Noralyaa yang telah meninggal akibat kanser – Foto: FB MSN Terengganu
ATLET angkat berat Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu, Siti Noralyaa Mat Marzuki, 25, meninggal dunia akibat penyakit kanser payudara semalam.
Allahyarham yang pernah memenangi pingat gangsa kategori 71 kilogram pada Sukma 2022 menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kira-kira 7.40 malam di sisi ahli keluarganya.
Mat Marzuki Mat Jusoh, 51, berkata anak perempuan sulungnya itu terlantar dan dirawat di hospital berkenaan sejak Jun lepas setelah disahkan menghidap kanser payudara peringkat empat.
“Arwah menderita penyakit ini sejak Januari lepas tetapi dia merahsiakan penderitaannya kerana tidak mahu menyusahkan keluarga.
“Nor Alyaa selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Felda Kampung Belara,” katanya ketika dihubungi. – Bernama