Atlet gimrama terima Anugerah Emas Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2019

KUALA LUMPUR – Atlet gimrama negara, Izah Amzan diangkat sebagai pemenang Anugerah Emas pada majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)-MSSM-MILO 2019.

Majlis yang diadakan secara dalam talian itu menyaksikan anugerah paling tertinggi dalam penganjuran ini diberikan bukan hanya berasaskan prestasi cemerlang dalam bidang sukan, malah turut berjaya dalam bidang akademik.

Kejayaan Izah merangkul pingat emas di Sukan SEA 2019 juga menjadi faktor utama selain dilihat mampu menjadi ikon kepada atlet murid yang lain.

Izah juga merupakan penerima Anugerah Puteri MSSM pada tahun 2018.

Dalam pendidikan pula, Izah mencapai purata mata nilaian kumulatif 3.76 aliran pengurusan bagi program Pra Universiti KPM-MSN di peperiksaan semester 1 2019/2020.

Sementara itu, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, kementeriannya sentiasa memastikan peranan dan tanggungjawab ini dapat digalas semua pihak bagi melestarikan hasrat untuk melahirkan atlet murid terbaik.

“Dalam tempoh pandemik sejak dua tahun ini, aktiviti bersukan tetap diteruskan selaras dengan matlamat satu murid satu sukan yang ada dalam Pelan Pembangunan Sukan 2013-2024.

“Kita mahu melahirkan atlet murid yang mampu bersaing bukan hanya di peringkat sekolah malah mampu pergi ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam ucapan perasmian.

Antara penerima anugerah pada Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPPM)-MSSM-MILO Tahun 2019 yang diadakan secara atas talian.

Radzi juga berkata, dengan pertandingan sukan dalam talian yang dilakukan untuk tahun 2021, seramai 456,269 peserta telah mengambil bahagian.

“Sukan dalam talian boleh diadakan walaupun berada di rumah.

“Kemahiran sukan yang dipertandingkan menerusi rakaman adalah sebagai platform dalam mempersiapkan atlet murid,” katanya.

Beliau berkata, sekolah sukan negara dan negeri telah memberi ruang dan peluang kepada atlet murid mendapat bimbingan agar dapat menyertai hingga ke peringkat antarabangsa.

Majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO merupakan acara tahunan dalam kalendar KPM sejak tahun 1968.

Ia diadakan sebagai menghargai usaha dan kerja keras para atlet murid, jurulatih sukan dan tokoh pemimpin sukan atas kejayaan, komitmen dan khidmat bakti yang diberikan mereka sehingga menyumbang kepada kejayaan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) sepanjang tahun.

Selain Izah, majlis tersebut turut menobatkan 12 lagi individu yang berjaya sepanjang tahun 2019.

Senarai pemenang Anugerah KPM-MSSM-MILO 2019

  1. Anugerah Tunas Harapan Puteri – Loo Yie Bing (renang)
  2. Anugerah Tunas Harapan Putera – Wong Lee Hong (skuasy)
  3. Anugerah Pendidikan Khas Puteri – Siti Nor Insyirah Mohamad Ariffin (olahraga)
  4. Anugerah Pendidikan Khas Putera – Jonah Chang Anak Rigan (olahraga)
  5. Anugerah Khas Puteri – Nur Amisha Azrilrizal (muaythai)
  6. Anugerah Khas Putera – Mohammad Rifdean Masdor (muaythai)
  7. Anugerah Guru Berjasa Wanita – Chang Siang Cheng
  8. Anugerah Guru Berjasa Lelaki – Yeshodh A/L Parameswaran
  9. Anugerah Jurulatih Cemerlang – Mohd Shahril Shahidan
  10. Anugerah Tokoh Sukan (Kepimpinan) – Muhammad Rafed Ismail
  11. Anugerah Puteri – Iman Alisha Fakhri Yassin (gimrama)
  12. Anugerah Putera – Khiew Hoe Yean (renang)
  13. Anugerah Emas – Izzah Amzan (gimrama)

Anugerah Juara MSSM 2019:

Johan: Selangor

Naib Johan: Johor

Ketiga: Perak

– MalaysiaGazette