Atlet Israel dibenarkan bertanding di Olimpik Paris

Atlet Israel dibenarkan bertanding di Olimpik Paris

Paris: Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata bahawa atlet Israel “dialu-alukan” menyertai Olimpik Paris 2024, sekali gus menolak gesaan daripada beberapa ahli parlimen Perancis sayap kiri dan Jawatankuasa Olimpik Palestin untuk memboikot negara itu.

“Atlet Israel dialu-alukan di negara kita. Mereka mesti mampu bersaing di bawah bendera mereka kerana ia sudah dipersetujui,” katanya kepada televisyen France 2 dalam satu temu bual, sambil menambah bahawa adalah “tanggungjawab Perancis untuk memastikan keselamatan mereka.”

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya mereka yang cuba mengancam atlet Israel dan mengutuk tindakan itu,” katanya.

Dia menambah bahawa Israel mempunyai “hak untuk mempertahankan diri” tetapi menyatakan bahawa pengeboman berterusan ke atas Gaza – di mana berdasarkan anggaran baharu yang dikeluarkan kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas iaitu seramai 39,090 orang sudah meninggal dunia itu “tidak boleh diterima.”

“Perancis adalah salah satu negara pertama di Eropah yang menyeru gencatan senjata,” tambahnya.

Presiden Israel, Isaac Herzog mengesahkan dia akan menghadiri upacara pembukaan Olimpik pada Sabtu ini dan Macron berkata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu juga akan “dialu-alukan” tetapi mungkin tidak dapat menghadirinya kerana berada di Amerika Syarikat.

Mengulas mengenai majlis perasmian Sukan Paris Macron berkata bahawa “kita semua akan melihat pada Jumaat (pagi Sabtu) mengapa ia berbaloi untuk ditonton.”

Sebahagian besar kawasan tengah Paris akan ditutup menjelang upacara di sepanjang sungai Seine, dengan 45,000 anggota pasukan keselamatan akan bertugas serta 10,000 askar untuk mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top