helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Ketua kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei mengingatkan barisan atlet negara untuk bijak mengawal tekanan dalam persiapan menghadapi temasya terbesar dunia itu.
Bekas jaguh badminton negara itu yang mempunyai pengalaman sebanyak empat kali beraksi di Sukan Olimpik, berkata tempoh kurang 100 hari sebelum aksi di Tokyo bermula dianggap paling mencabar buat atlet.
“Tekanan pastinya semakin meningkat, atlet juga akan berasa tanggungjawab mereka semakin berat. Ini bukan Sukan SEA dan atau kejohanan terbuka yang lain.
“Sebagai atlet, ia adalah impian untuk beraksi pada Sukan Olimpik, kejohanan paling besar di dunia.
“Semua meletakkan sasaran untuk meraih pingat. Ada juga yang fikir sama ada mereka boleh beraksi lagi atau tidak pada Sukan Olimpik seterusnya. Ini semua akan menambahkan lagi tekanan kepada atlet.
“Untuk itu, kita perlu kawal tekanan dengan bijak, jangan peduli apa orang cakap…hanya fokus kepada latihan kita. Jadikan ini satu cabaran untuk diri kita.
“Kita patut bangga kerana dapat mewakili negara di Sukan Olimpik berbanding 33 juta rakyat Malaysia yang lain. Ini boleh dijadikan sebagai motivasi untuk kita melakukan yang terbaik.
“Menang atau kalah perkara kedua, yang penting atlet berjuang habis-habisan. Jangan menyerah kalah sebelum berjuang,” katanya.
Chong Wei adalah atlet Malaysia paling berjaya di pentas Sukan Olimpik apabila memenangi tiga pingat perak sepanjang kerjayanya.
Penampilan pertamanya di Athens 2004 menyaksikan dia pulang dengan tangan kosong namun bangkit dengan meraih perak pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.
Setakat ini, seramai 12 atlet melayakkan diri ke Tokyo – Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom (basikal trek), Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee (terjun).
Selain itu, Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik) dan empat atlet pelayaran – Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.
© New Straits Times Press (M) Bhd