sukan@hmetro.com.my
Seremban: Atlet muaythai tempatan memperagakan aksi terbaik apabila mendominasi Cabaran Muaythai Antarabangsa Waris Negeri Sembilan 2024 di Kelab d’Tempat Sri Sendayan, semalam.
Mereka memenangi lima daripada keseluruhan lapan kategori profesional dipertandingkan.
Timbalan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sembilan (PMNS), Mohd Faizal Mohd Hanif berkata, seramai 10 atlet luar negara dan 64 atlet tempatan dari Johor, Melaka dan Selangor mengambil bahagian termasuk dalam kategori amatur yang membabitkan kanak-kanak berusia lapan tahun ke atas dan dewasa.
Beliau berkata, paling mencuri tumpuan ialah saingan bagi kategori profesional yang membabitkan lapan kategori dengan penyertaan daripada Thailand, Uganda, Iran dan Afghanistan.
“Jaguh muaythai tempatan, Ainol Safwan Abbas, 25, menjuarai kategori 70 kilogram (kg) selepas menewaskan jaguh dari Iran manakala atlet wanita, Miam Natasha pula menewaskan wakil dari Thailand.
“Pemenang pingat gangsa Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, Muhammad Hasma Naqaie Mohamad Ridhuan, 21, turut cemerlang selepas memenangi kategori 51kg menewaskan atlet dari Uganda,” katanya.
Menurutnya, kejohanan julung kali membabitkan penyertaan atlet luar negara itu bertujuan untuk membantu atlet tempatan khususnya dari Negeri Sembilan mendapat pendedahan berguna dalam pertarungan kompetitif.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Presiden Muaythai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi.
© New Straits Times Press (M) Bhd