Atlet terbaik dunia milik Duplantis, Sydney

Atlet terbaik dunia milik Duplantis, Sydney

Paris: Jaguh lompat bergalah Sweden, Mondo Duplantis dan bintang pecut Amerika Syarikat, Sydney McLaughlin Levrone dinobat sebagai Atlet Terbaik Dunia 2025 selepas masing masing mempamerkan dominasi luar biasa sepanjang musim ini.

Duplantis, 26, bukan sahaja mempertahankan emas Kejohanan Dunia di Tokyo pada September lalu malah memecahkan rekod dunianya sendiri sebanyak empat kali dan tidak tewas dalam 16 saingan yang disertainya. Dia turut mengungguli gelaran Liga Berlian buat kali kelima berturut turut.

“Saya harap dapat terus melonjak lebih tinggi dan buat semua pengundi pening kepala untuk bertahun tahun lagi,” selorohnya sambil menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan besar kepada atlet acara padang.

Sydney turut mencatat rekod sempurna apabila kekal tanpa kalah selama dua tahun dalam 400 meter dan 400 meter berpagar. Catatan 47.78 saat ketika memenangi emas di Tokyo menjadi larian kedua terpantas dalam sejarah acara berkenaan.

Atlet berusia 26 tahun itu juga mencipta sejarah sebagai individu pertama merangkul gelaran dunia dalam kedua dua acara 400 meter dan 400 meter berpagar, selain membantu kuartet Amerika Syarikat meraih emas 4×400 meter.

“Wow, saya benar benar terharu. Musim di Tokyo sangat istimewa dan 2025 adalah tahun saya keluar dari zon selesa untuk menguji batas mental dan fizikal,” katanya.

Anugerah berprestij anjuran World Athletics itu memilih dua atlet terbabit selepas mereka mendominasi kalendar dunia dan dianggap perintis baharu dalam era sukan trek dan padang moden.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top