Barcelona: Atletico Madrid meraih kemenangan selesa 2-0 ke atas Barcelona yang beraksi dengan 10 pemain dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara UEFA, awal pagi tadi.
Jaringan Julian Alvarez dan Alexander Sorloth memastikan Atletico membawa bekalan selesa menjelang aksi timbal balik.
Pendahulu La Liga itu menguasai perlawanan di Camp Nou sebelum Pau Cubarsi dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Giuliano Simeone yang sedang menuju ke gawang.
Alvarez menyempurnakan sepakan percuma itu, sebelum Sorloth menambah gol kedua dengan baki 20 minit permainan, sekali gus meletakkan Atletico di landasan terbaik ke separuh akhir.
Skuad kendalian Diego Simeone yang belum pernah menjuarai kejohanan ini, sebelum ini mara ke final 2014 dan 2016, namun tewas kepada seteru setempat, Real Madrid.
“Kami masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan dipelajari… kami gembira dengan kemenangan ini tetapi perjalanan masih jauh.
“Masih ada 90 minit atau lebih lagi… kami yakin tetapi kekal berpijak di bumi nyata,” kata Antoine Griezmann kepada Movistar.
Barcelona, yang mara ke separuh akhir musim lalu, kini perlu melakukan kebangkitan besar di Madrid minggu depan jika mahu terus memburu trofi yang kali terakhir dimenangi pada 2015.
“Ia pasti sukar di sana, tetapi jika ada pasukan yang mampu melakukannya, itu adalah kami,” kata pemain pertahanan, Ronald Araujo.
Jurulatih Barca, Hansi Flick pula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penggunaan Video Bantuan Pengadil (VAR) yang menyaksikan pasukannya dihukum kad merah, tetapi tidak menyemak potensi bola terkena tangan oleh pemain Atletico, Marc Pubill pada separuh masa kedua.
Pemain itu menyentuh bola dengan tangan selepas menerima hantaran penjaga gol, Juan Musso untuk mengambil sepakan gol sendiri, yang menurut Flick wajar diteliti VAR.
“VAR hari ini sangat ‘fokus’ kepada Atletico, dia orang Jerman, jadi terima kasih Jerman.
“Bagi saya ia jelas kad merah, dan selepas itu ia mengubah segalanya,” sindir bekas jurulatih pasukan kebangsaan Jerman itu.
Simeone pula menyifatkan keputusan itu sebagai ‘logik dan masuk akal’.
Atletico sebelum ini menyingkirkan Barcelona dalam separuh akhir Copa del Rey pada Mac lalu, dan ini adalah pertemuan kedua daripada tiga perlawanan antara kedua-dua pasukan dalam tempoh dua minggu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




