ATM dominasi peringkat pertama Jelajah Negeri Sembilan

ATM dominasi peringkat pertama Jelajah Negeri Sembilan

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuktikan kemampuan sebenar apabila mendominasi peringkat pertama Jelajah Negeri Sembilan 2024, selepas dua pelumba mereka menaiki podium.

Muhammad Nur Aiman Rosli muncul juara keseluruhan perlumbaan seterusnya menyarung Jersi Kuning selepas mencatat masa 2 jam, 41 minit dan 9 saat diikuti pelumba Pasukan Malaysia Pro Cycling (MPC), Akmal Hakim Zakaria di tempat kedua dengan catatan 2:41.20s.

Tempat ketiga keseluruhan menjadi milik pelumba ATM, Muhammad Zawawi Azman dengan catatan 2:41.21s.

Nur Aiman turut memenangi Jersi Hijau selaku Raja Pecut yang berjaya mengumpul 26 mata manakala Muhammad Zawawi memiliki Jersi Merah selaku Raja Bukit selepas mengumpul 14 mata.

Jersi Putih bagi kategori Bawah 23 Tahun milik pelumba daripada pasukan TAC (Kuala Lumpur), Muhammad Iqmal Mohd Zarawi selepas dia mencatatkan masa 2:42.49s.

Nur Aiman, 25, nyata berpuas hati dengan persembahannya hari ini dan masa yang dicatatkan juga memberangsangkan walaupun bukan yang terbaik.

Pelumba kebangsaan itu berkata, walaupun laluan banyak berbukit antaranya Bukit Putus di Kuala Pilah dan Bukit Miku di Rembau, selain jarak perlumbaan yang jauh, namun dia dapat melepasi semua halangan itu dengan baik.

“Alhamdulillah, saya dapat membantu pasukan untuk menguasai perlumbaan dengan cemerlang.

“Kejayaan ini sudah tentu dapat memberikan motivasi yang tinggi kepada rakan sepasukan untuk meneruskan cabaran pada peringkat kedua, esok,” katanya ketika ditemui.

Zawawi pula berkata, menjadi sasaran pasukannya dari awal untuk memimpin perlumbaan dan ia terbukti berjaya.

“Alhamdulillah, apa yang kami rancang semalam berjalan dengan lancar, saya dengan Aiman sentiasa di depan meninggalkan pelumba lain..

“Syukur, kemenangan hari ini berpihak kepada pasukan kami,” kata Zawawi yang merancang bersama rakan untuk kekalkan momentum itu pada perlumbaan peringkat kedua.

Sementara itu, Jelajah Negeri Sembilan kali ini turut menarik penyertaan kelab dari Indonesia, Nusantara Devo Team membabitkan enam orang pelumba.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) merangkap Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS), Khairy Jamaluddin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top