Aubameyang ke Chelsea, Alonso berpindah ke Barcelona

Aubameyang ke Chelsea, Alonso berpindah ke Barcelona

LONDON: Chelsea mencapai persetujuan dengan Barcelona untuk membuat pertukaran pemain apabila membawa masuk penyerang sensasi Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang ke Stamford Bridge, manakala bek kiri mereka, Marcos Alonso pula berpindah ke Camp Nou.

Menurut Sky Sports pada hari terakhir jendela perpindahan pemain hari ini, gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu bersetuju membayar 10 juta pound (RM52 juta), selain menawarkan pemain pertahanan, Alonso sebagai ganti.

MARCOS ALONSO

Aubameyang kembali ke London hanya selepas tujuh bulan menyertai Barcelona dari Arsenal, Februari lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu meledak 13 gol dalam 24 penampilan bersama Barca, namun kehadiran penyerang Poland, Robert Lewandowski dari Bayern Munich memaksa kelab Sepanyol tersebut melepaskan pemain bagi mematuhi peraturan kewangan La Liga.

Aubameyang kini akan bergabung semula dengan pengurusnya ketika beraksi bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund, Thomas Tuchel. – AGENSI