Audi Q7 S Line 3.0 TFSI Quattro kekal kualiti

Audi Q7 S Line 3.0 TFSI Quattro kekal kualiti

lizamridzuan@hmetro.com.my

Sedang dunia hangat dengan pelbagai teknologi dan penawaran segmen kenderaan tenaga baharu, usah dilupa model enjin pembakaran dalaman (ICE) yang memiliki kelebihan tersendiri.

Antara yang menarik ialah Audi Q7 S Line 3.0 TFSI Quattro kini didatangkan dengan versi pemasangan tempatan (CKD) dari Pekan, Pahang adalah pertama di Asia Tenggara diberi kepercayaan memasang model ini.

Vroom berpeluang memandu uji model itu baru-baru ini dan untuk bahagian luaran ia menampilkan gaya ‘Conti’ dengan gril hitam dominan, lampu utama HD Matrix LED ciri Audi Laser Light, rim Audi Sport bersaiz 22 inci adalah padanan yang cukup maskulin.

Ia juga dengan bahagian belakang lampu LED, spoiler pintu belakang, dwiekzos dan bampar gaya diffuser menampilkan ciri sporty jentera ini.

Menjengah ke ruang dalaman, kemewahan jenama Jerman ini kekal bergaya dengan tempat duduk kulit Valcona sport seat plus untuk sokongan badan yang stabil dan selesa.

Q7 ini hadir dengan kapasiti tujuh tempat duduk dengan baris ketiga boleh dilipat secara elektrik untuk menawarkan ruang 780 sehingga 1,908 liter cukup luas untuk pelbagai keperluan.

Sistem infotainmen dengan Audi Virtual Cockpit 12.3 inci dan sistem bunyi 3D Bang & Olufsen 19 pembesar suara yang menawarkan audio yang berkualiti seakan-akan dewan konsert bergerak untuk perjalanan lebih menarik.

Ia juga dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto untuk kemudahan komunikasi dan perjalanan.

Panel meter pemandu digital sepenuhnya dengan paparan antaramuka boleh ubah mengikut mod pemanduan untuk maklumat kenderaan.

Untuk pemanduan, Audi Q7 didatangkan dengan enjin 3.0 liter V6 TFSI yang dipadankan dengan sistem hibrid ringan (MHEV) 48V menawarkan gabungan kuasa 340PS pada 5,200 hingga 6,400rpm dan tork maksium 500Nm pada 1,370 hingga 4,500rpm.

Transmisi automatik 8-kelajuan Tiptronic dapat dirasakan kelancaran dan prestasinya oleh penulis dengan pengalaman pemanduan yang responsif dan pengendalian yang baik di atas lebuh raya termasuk suspensi udara adaptif sport yang menyesuaikan ketinggian kenderaan dengan 30 milimeter (mm) lebih rendah pada kelajuan lebih tinggi.

Ketika seronok memandu pada pelbagai kelajuan, penggunaan bahan api model ini masih efisien menawarkan jarak lebih 700 kilometer (km) dengan satu tangki penuh 85 liter bergantung kepada gaya pemanduan.

Ciri stereng semua roda (all-wheel steering) dengan mudah membelok dalam kawasan parkir yang sempit meskipun saiznya agak panjang sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-D premium ini.

Ciri keselamatan tetap menjadi keutamaan dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) seperti Kawalan Peluncuran Adaptif (ACC), Amaran Keluar Laluan, Pemantauan Titik Buta, Bantuan Trafik Melintas Belakang, Amaran Keluar Kenderaan, Sistem Parkir Pintar dengan kamera 360 darjah, Bantuan Parkir dan 8 beg keselamatan.

Secara keseluruhan Audi Q7 CKD ini kekal kualiti pembuatan Jerman dengan pakej lengkap premium dan berprestasi, selain selesa dan praktikal bagi pelbagai tujuan yang ditawarkan pada harga RM459,990 (atas jalan tanpa insurans).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top