KUALA LUMPUR: Audit forensik perlu dijalankan bagi mengenal pasti dalang yang menyebabkan Felda menanggung kerugian hampir RM10 bilion, sekali gus membolehkan tindakan diambil jika wujud unsur salah guna kuasa, pecah amanah atau salah tadbir urus.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tanggungjawab melaksanakan siasatan itu terletak pada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun bekas Pengerusi Felda sudah menjalani hukuman.
“Felda berdepan masalah begitu besar dan berlarutan. Kita tak boleh bertolak ansur dengan jumlah kerugian terbabit. Tanggungjawab melakukan siasatan diambil Anwar dan yang penting bukan hanya management auditing (audit pengurusan) tetapi forensic auditing (audit forensik) juga mesti dilakukan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Pelancongan dan Perdagangan Islam Dunia (WITEX) serta Festival Seni dan Kebudayaan Dunia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, semalam.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, siasatan terbabit tidak boleh dijadikan alat untuk bertindak zalim, menganiaya atau memalukan mana-mana pihak, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Tentunya pihak bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati ada bukti kukuh, tetapi jangan lakukan penganiayaan atau kezaliman untuk memalukan mana-mana individu seperti yang pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan bagaimanapun perlu menyantuni kebajikan warga Felda agar terus dipelihara dan dipertahankan.
“Sebanyak 225,000 peneroka Felda dan generasi Felda daripada generasi pertama hingga kelima sekarang ini berjumlah tidak kurang daripada 1.8 juta orang yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung, mesti kita santuni agar kepentingan mereka yang menjadi warga Felda ini dapat terus dipertahankan kebajikannya oleh pihak kerajaan.
“Dan tentunya mereka yang bertanggungjawab harus dibawa ke muka pengadilan jika didapati terdapat bukti-bukti yang kukuh.
“Tetapi jangan lakukan penghinaan atau kezaliman atau bertujuan untuk memalukan mana-mana individu, sebagaimana yang pernah dilakukan,” katanya.

