Washington: Pengerusi Kelab Golf Augusta, Fred Ridley, memaklumkan bahawa lapangan di mana acara Masters akan diadakan mengalami kerosakan teruk akibat Taufan Helene namun menegaskan bahawa kejohanan itu akan diteruskan pada bulan April depan seperti yang dirancang.
Ridley mengumumkan sumbangan AS$5 juta (RM21.10 juta) daripada kelab untuk dana sokongan pemulihan kawasan Augusta selepas ribut yang melanda tenggara Amerika Syarikat minggu lalu.
“Saya berada di Augusta beberapa hari selepas kejadian dan melihat kesan akibat daripada ribut itu,” kata Ridley dalam satu kenyataan.
“Pekerja, jiran, rakan-rakan dan pemilik memerlukan sokongan dan berhak mendapatkan bantuan segera untuk mengatasi kesukaran yang dihadapi pada masa ini di seluruh Augusta.”
Ridley yang ditemui di Jepun pada Kejohanan Amatur Asia Pasifik berkata, Augusta National mengalami “banyak kerosakan” akibat ribut, menyebabkan bekalan elektrik dan air terputus di lapangan yang terkenal itu.
“Terdapat banyak kerosakan dan kami mempunyai ramai orang yang bekerja keras untuk memulihkan keadaan itu.”
Ridley berkata Masters akan bermula 10 April seperti yang dijadualkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
