Aura F1 ke GP Malaysia

Aura F1 ke GP Malaysia

KUALA LUMPUR: Bahang Formula 1 (F1) yang menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mahu diteruskan ke Grand Prix (GP) Malaysia apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis mampu menarik kehadiran 200,000 penonton pada hujung bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, sambutan hangat terhadap perlumbaan F1 sebelum ini dijangka menyemarakkan lagi minat peminat sukan permotoran untuk kembali membanjiri litar berkenaan bagi menyaksikan pelumba-pelumba MotoGP beraksi.

Menurutnya, sasaran itu lebih tinggi berbanding kehadiran melebihi 190,000 pengunjung yang direkodkan pada penganjuran GP Malaysia edisi lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita sangat yakin bahang dan semangat rakyat Malaysia serta pengunjung dari luar negara akan berterusan daripada F1 kepada MotoGP. Jadi, kita sangat optimis kehadiran penonton mampu mencapai sasaran,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif di sini, semalam.

GP Malaysia dijadual berlangsung di SIC dari 30 Oktober hingga 1 November ini, dengan pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli turut menjadi antara tumpuan peminat tempatan.

Menurut Taufiq, sokongan padu peminat tempatan diharap mampu membantu Hakim Danish mempamerkan aksi terbaik, apatah lagi pelumba itu sudah biasa dengan karakter litar Sepang.

Beliau juga berharap, penganjuran kali ini bukan sahaja berlangsung dengan lancar, malah mampu memberikan pulangan ekonomi kepada negara serta membuka peluang pekerjaan buat masyarakat tempatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Taufiq berkata, KBS akan menubuhkan jawatankuasa khas bersama pihak berkaitan bagi menilai kebolehlaksanaan Malaysia untuk kembali menjadi tuan rumah perlumbaan F1 pada masa depan.

Tambahnya, penilaian itu akan dibuat berdasarkan fakta dan data, termasuk impak ekonomi secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri.

Beliau berkata, kajian impak ekonomi penganjuran F1 di Sepang masih berjalan dan tidak hanya tertumpu kepada hasil jualan tiket, sebaliknya turut mengambil kira limpahan kepada sektor perhotelan, pelancongan serta peniaga tempatan.

Katanya, pengalaman menganjurkan perlumbaan F1 baru-baru ini juga memberikan ruang kepada pihak berkaitan untuk mengenal pasti aspek yang perlu ditambah baik, khususnya pengurusan trafik, pengangkutan dan infrastruktur.

Taufiq menjelaskan, cadangan menambah kemudahan hentian kereta api berhampiran SIC turut dilihat positif, namun memerlukan kerjasama pelbagai kementerian kerana perkara itu bukan terletak di bawah bidang kuasa KBS semata-mata.

ends.

Scroll to Top