Aura kediaman impian satukan kreativiti pemilik

Aura kediaman impian satukan kreativiti pemilik

amir_hamid@mediaprima.com.my

MEMILIKI kediaman yang mempunyai jiwa dan karakter tersendiri adalah matlamat setiap pemilik rumah.

Bagi pasangan Normasidayu Abdol Halil, 29, dan Mohamad Nazim Razak, 32, unit kondominium aras 33 yang dibeli mereka pada 2020 bukan sekadar sebuah rumah subsale biasa, tetapi ia adalah ruang untuk mereka mengekspresikan kreativiti tanpa had.

Melangkah masuk ke kediaman ini, mata pasti akan terpaku pada panorama tasik yang terbentang luas daripada balkoni aras tinggi itu.

Bagi Normasidayu, pemandangan yang mendamaikan atau ‘breathtaking view’ inilah yang menjadi faktor utama mereka memilih unit ini berbanding tiga unit lain yang pernah ditinjau sebelum itu.

Aura positif yang dirasai sejak kali pertama menjejakkan kaki nyata tidak mengecewakan.

Jiwa sebenar kediaman ini terletak pada ruang dapurnya yang memukau.

Siapa sangka, konsep ‘White and Gold’ yang menghiasi setiap sudut ruang memasak ini sebenarnya adalah impian Normasidayu sejak di bangku sekolah menengah.

Normasidayu membuktikan bahawa tema putih dan emas adalah pilihan malar hijau yang tetap nampak mewah walaupun sudah hampir enam tahun dipraktikkan.

Keserian dapur ini bukan sahaja terletak pada barisan kabinetnya, malah pada perincian jubin ‘backsplash’ putih bermotifkan emas yang memberikan impak visual yang sangat kemas dan elegan.

Ditambah pula dengan pencahayaan lampu gantung bulat yang memberikan kesan fokus yang menarik, setiap inci ruang ini tampak sempurna bagi Normasidayu yang bertugas sebagai pencipta kandungan digital sepenuh masa.

Untuk memastikan kaunter dapur sentiasa teratur, penggunaan rak kayu kecil digunakan untuk menyusun botol minyak dan rempah-ratus, sekali gus menyuntik sedikit elemen organik ke dalam tema putih itu.

Bagi mengelakkan suasana rumah nampak terlalu kaku, Normasidayu menyuntik elemen kayu dan rotan yang kini menjadi kegilaan ramai.

Di ruang makan, penggunaan meja kayu yang dipadankan dengan kerusi berunsur rotan mewujudkan suasana yang sangat cozy dan mesra untuk mereka sekeluarga menjamu selera.

Transisi antara ruang makan dan dapur juga kelihatan luas menerusi konsep terbuka yang dipraktikkan, menampakkan aliran pergerakan yang lebih lancar. Malah, sudut-sudut kecil rumah ini turut diberi perhatian.

Kehadiran cermin berlekuk yang dipadankan dengan tumbuhan hijau memberikan kesegaran semula jadi kepada ruang tamu yang dilatari lampu candelier emas yang mewah.

Setiap sudut estetik yang terhasil adalah hasil idea Normasidayu. Namun, dia mengakui, sokongan kuat daripada suami adalah kunci utama kejayaan itu.

Suaminya yang bertugas sebagai penyelia merealisasikan impian dekorasi itu mengikut bajet sedia ada.

Kemesraan dan kerjasama erat pasangan ini jelas terpancar menerusi potret keluarga bahagia bersama dua cahaya mata mereka yang sering menjadi inspirasi dalam setiap kandungan kreatif @mommymed_ di media sosial.

Malah, bilik tidur anak juga tidak dilupakan dengan hiasan rona merah jambu dan putih yang sangat ceria.

Walaupun berpuas hati dengan konsep sedia ada, Normasidayu masih mempunyai matlamat besar.

Dia mengimpikan untuk menaik taraf ruang tamu dengan kabinet TV berbentuk ‘arch’ serta sofa berbentuk ‘L’.

Malah, ruang ‘laundry’ yang kecil juga dirancang untuk diberi nafas baharu dengan penggunaan jubin hitam putih bagi memberikan impak mewah.

Bagi mereka, menghias rumah adalah proses berterusan yang memerlukan kesabaran.

Dengan penjagaan yang rapi, setiap sudut kediaman ini kekal memberikan keselesaan maksimum buat mereka sekeluarga berteduh di aras 33 yang penuh ketenangan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top