lizamridzuan@hmetro.com.my
DIINSPIRASIKAN daripada aura retro ikonik, Suzuki GSX-8T membawakan gaya klasik model legenda Suzuki T500 Titan era 1960-an, namun disuntik karakter moden dan agresif.
Model ini didatangkan bersama varian Suzuki GSX-8TT secara rasmi diperkenalkan Suzuki Malaysia Sdn Bhd sempena perlumbaan MotoGP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini.
Pelancaran tersebut mengukuhkan komitmen Suzuki dalam memperluas segmen motosikal berkuasa tinggi di pasaran tempatan, seiring permintaan yang semakin meningkat dalam kategori pertengahan (middleweight).
Majlis perasmian disempurnakan Pengurus Jenama Suzuki Malaysia, Leong Kam Yew, bersama Pengerusi Kumpulan AFY Mobility Industries Sdn Bhd, Ahmad Faez Tan Sri Yahaya dan Pengarah Urusan Kumpulan AMI, Datuk Jeffrey Lim.
Turut hadir wakil Suzuki Motor Corporation Jepun, Ichiro Kondo, menandakan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun dalam pembangunan teknologi dua roda.
Dengan tema ‘Retro Spirit, Next Generation Performance,’ kedua-dua model memadankan DNA rekaan klasik Suzuki dengan pelbagai ciri teknologi generasi baharu, menjadikan ia pilihan ideal untuk penunggang yang mahukan gaya elegan retro tanpa berkompromi dari segi prestasi dan keselamatan.
Dua model ini dikuasakan enjin 776cc Parallel-Twin DOHC baharu Suzuki, menawarkan prestasi dan respons agresif serta penggunaan bahan api lebih efisien.
Platform itu turut dibangunkan untuk memberi kestabilan optimum dan keselesaan harian, sama ada untuk tunggangan santai mahupun jarak sederhana.
Suzuki GSX-8T hadir dengan rekaan tangki bahan api ergonomik, belakang kemasan hitam matte serta logo timbul 3D ‘eight-ball’ pada fairing sisi yang mencetus karakter retro premium.
Ia turut dilengkapi sistem Suzuki Intelligent Ride System (SIRS), Ride-by-Wire throttle, Bi-Directional Quick Shifter dan Dwi Sistem Brek Anti-Kunci (Dual ABS) untuk kawalan lebih yakin dalam pelbagai kondisi jalan.
Sementara itu, GSX-8TT mengetengahkan gaya perlumbaan jalanan Suzuki era 1970-an dan 1980-an seperti GS750 dan GS1000.
Penampilannya disempurnakan dengan cowl hadapan klasik, under-cowl era vintaj, fork hadapan kemasan hitam serta jalur grafik sporty yang mempamerkan DNA perlumbaan klasik Suzuki dalam sentuhan moden.
Mewakili maksud ‘Timeless Twin,’ GSX-8TT turut dilengkapi mod tunggangan Suzuki SDMS, sistem kawalan cengkaman serta tangki bahan api 16.5 liter, direka untuk perjalanan jarak jauh dan pengembaraan merentasi jalan bandar mahupun laluan luar kota.
Suzuki Malaysia berkata, pelancaran ini mencerminkan fokus syarikat dalam menawarkan motosikal yang seimbang dari segi gaya, ketahanan, kejuruteraan dan pengalaman tunggangan premium kepada peminat dua roda tempatan.
GSX-8T dijual pada harga RM59,600 manakala GSX-8TT pada RM63,600, dan kini boleh didapati di semua rangkaian Suzuki Big Bike World seluruh negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




