'Aura' SNBJ buat Vietnam goyah

'Aura' SNBJ  buat Vietnam goyah

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Kehangatan aksi kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil semakin dirasai apabila hanya berbaki tujuh hari sebelum perlawanan berlangsung.

Sorakan padu penyokong di Stadium Nasional dijangka kembali menghangatkan suasana, sekali gus menjadi kelebihan penting buat Harimau Malaya dalam misi memburu kemenangan ke atas Vietnam pada aksi kedua Kumpulan F, 10 Jun ini.

Malah, ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang Sik turut mengakui aura luar biasa gelanggang berkapasiti lebih 80,000 penonton itu selepas menyaksikan sendiri suasananya ketika membimbing skuad Asean All Stars menentang Manchester United, minggu lalu.

“Saya tahu stadium ini sangat besar dan boleh mencipta suasana yang cukup hangat, terutama buat pasukan pelawat.

“Ketika menentang United, kita lihat penyokong berbaju merah memenuhi stadium, tetapi bulan depan kita akan melihat stadium ini dipenuhi baju kuning.

“Sudah tentu ia memberikan kelebihan buat Malaysia, namun pasukan kami akan melakukan persiapan rapi untuk menghadapi cabaran itu. Kami akan bersedia sepenuhnya,” katanya dalam nada yakin.

Sang Sik yang berasal dari Korea Selatan mungkin hadir dengan moral tinggi selepas berjaya membimbing Asean All Stars mencipta kejutan menewaskan Manchester United 1-0 di Stadium Nasional, Rabu lalu.

Vietnam yang berada di ranking ke-109 dunia kini berkongsi tiga mata bersama Malaysia yang menghuni tangga ke-131, sekali gus menjadikan perlawanan ini penting buat kedua-dua pasukan untuk mengukuhkan kedudukan dalam kumpulan.

Walau apa pun keputusan di Bukit Jalil nanti, Harimau Malaya dan skuad Naga Emas dijangka perlu menunggu perlawanan terakhir kumpulan pada 31 Mac tahun depan untuk menentukan pasukan yang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top