Isteri kepada pelakon popular Shukri Yahaya, Tya Adnan tetap dengan pendirian tegasnya mengenai gaya hidup wanita Muslimah yang aktif bersukan, namun tetap memelihara aurat.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Tya menzahirkan rasa syukurnya dapat terus istiqamah dalam mengekalkan penampilan sopan meskipun dikecam segelintir netizen.
“Tak semua orang boleh hadam wanita Muslimah yang confident, bersukan, dan tetap menutup aurat. Tapi itu tak bermakna kita perlu ubah diri kita. Yang tak selesa tengok, boleh teruskan scroll,” katanya.
Tambahnya, aurat bukanlah satu perkara yang boleh diikut arus trend semata-mata, sebaliknya perlu difahami sebagai tuntutan agama.
“Aurat bukan ikut trend. Aurat ikut Tuhan. Kalau pakaian yang menutup tubuh dianggap ‘berlebihan’, mungkin hati kita yang kekurangan hidayah.
“Kita buat baju longgar, besar, tutup aurat. Bukan untuk sedap mata orang pandang. Tapi untuk Allah pandang kita dengan rahmat-Nya,” ujarnya.
Tya turut menyentuh mengenai stigma terhadap wanita berniqab yang dikatakan sepatutnya ‘menyepi’ daripada media sosial.
“Mereka kata, ‘Kalau dah berniqab, duduk rumah diam-diam. Tak payah post di media sosial!’ Tapi kalau semua wanita berniqab diam, siapa yang nak normalisasikan pakaian yang Allah redha?
“Kami bukan muncul untuk glamor. Kami muncul untuk menormalisasikan syariat. Bukan untuk populariti tetapi untuk generasi,” tegasnya lagi.
Sebelum ini, Tya menerima pujian ramai apabila melancarkan koleksi pakaian sukan patuh syariah labuh, longgar dan selesa untuk wanita.
Namun begitu, koleksi itu bagaimanapun mengundang kritikan daripada segelintir pihak yang tidak senang dengan imej Muslimah aktif yang diketengahkan.
Meskipun berdepan pelbagai reaksi, Tya kekal positif dan menyeru masyarakat untuk lebih terbuka serta membiasakan diri dengan penampilan yang lebih menepati syariat Islam.
“Kalau tak biasa tengok, biasakan. Ini bukan trend sementara. Ini perjuangan,” katanya.




