Paris: Australia menamatkan penantian selama 20 tahun untuk meraih pingat emas perlumbaan kejar-mengejar berpasukan lelaki Sukan Olimpik Paris 2024, manakala juara lebuh raya, Kristen Faulkner, membantu Amerika Syarikat memenangi emas bagi saingan wanita.
Diketuai oleh Sam Welsford, kuartet Australia melengkapkan 16 pusingan dalam masa 3:42.067 saat (s).
Ia kurang 1.5s daripada rekod dunia mereka sendiri yang ditetapkan semasa kelayakan, tetapi cukup untuk menyingkirkan pesaing sengit, Britain.
Juara bertahan, Itali, mengalahkan juara dunia Denmark dalam perlumbaan pingat gangsa.
“Rasa agak tak masuk akal untuk memanggil diri kami juara Olimpik sekarang. Kami mungkin tidak mempunyai jangkaan ini ketika kami mula berlatih bersama,” kata Welsford.
“Untuk berkumpul seperti yang kami lakukan dalam bulan terakhir adalah sesuatu yang istimewa.”
Australia yang dibarisi Welsford, Oliver Bleddyn, Conor Leahy, dan Kelland O’Brien memadam rekod dunia dipegang Itali untuk menunjukkan kemampuan mereka.
Kemenangan itu adalah yang pertama mereka dalam perlumbaan kejar-mengejar lelaki sejak Athens 2004 sebelum Britain memenangi emas empat tahun kemudian di Beijing dan mengulanginya di London dan Rio.
Kristen yang masih sega dengan emas lebuh raya membantu rakan sepasukan Jennifer Valente, Lily Williams, dan Chloe Dygert mengatasi New Zealand dalam masa 4:04.306s untuk memenangi emas perlumbaan kejar-mengejar berpasukan wanita Olimpik pertama mereka.
“Kami tahu kami mempunyai pasukan yang kuat datang ke sini, dan saya rasa saya yang bertuah kerana mereka (rakan sepasukan) memenangi pingat sebelum ini di trek dan saya belum,” kata Kristen.
“Saya hanya ingin memenuhi jangkaan mereka.”
Ia adalah pencapaian luar biasa Kristen, yang menewaskan pelumba veteran Belanda, Marianne Vos dan Lotte Kopecky dari Belgium untuk memenangi perlumbaan lebuh raya sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd