CANBERRA – Menteri Luar Australia, Penny Wong pada Khamis berkata Australia “berang” dengan keputusan Israel untuk melepaskan anggota tenteranya daripada kesalahan jenayah berhubung serangan udara pada 2024 yang mengorbankan seorang pekerja bantuan Australia di Gaza, lapor Xinhua.
Warga Australia Zomi Frankcom merupakan antara tujuh individu yang terbunuh apabila konvoi World Central Kitchen yang mereka naiki untuk menghantar makanan di Gaza menjadi sasaran serangan udara Angkatan Pertahanan Israel (IDF) pada 1 April 2024.
IDF pada Rabu berkata pihaknya telah menyelesaikan semakan terhadap insiden itu dan menyimpulkan bahawa berlaku kegagalan serius yang menyebabkan anggota tentera tersilap menilai bahawa kenderaan berkenaan membawa anggota Hamas, namun keputusan yang dibuat oleh komander tidak menimbulkan syak munasabah berhubung salah laku jenayah.
Mengulas perkara itu pada Khamis, Wong berkata, keputusan berkenaan tidak memenuhi tahap akauntabiliti yang diharapkan Australia.
“Kerajaan Australia berang kerana kerajaan Israel memutuskan untuk tidak meneruskan prosiding jenayah terhadap mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan Zomi Frankcom dan rakan-rakannya dari World Central Kitchen,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, keputusan itu “amat menghina” keluarga Frankcom, petugas kemanusiaan dan seluruh rakyat Australia kerana ia diumumkan pada Hari Kemanusiaan Sedunia.
“Kerajaan Australia tidak akan berhenti mendesak Israel agar memberikan keadilan untuk Zomi dan rakan-rakannya,” katanya.
“Saya akan memanggil Duta Israel ke Australia, Hillel Newman dan mengarahkan duta Australia ke Israel untuk menyampaikan pendirian kami secara langsung kepada Israel sementara kerajaan Australia mempertimbangkan langkah seterusnya.”
Dalam ucapan sempena Hari Kemanusiaan Sedunia di Bangunan Parlimen sebelum keputusan Israel diumumkan pada Rabu, Wong berkata Australia terus mendesak Israel supaya bertanggungjawab sepenuhnya atas kematian Frankcom dan rakan-rakannya. – Bernama
