Australia mahu benarkan pelajar asing kembali

Australia mahu benarkan pelajar asing kembali

SYDNEY: Australia sedang mencari kaedah untuk memulakan semula sektor pendidikan antarabangsa, termasuk membenarkan pelajar yang divaksinasi dari Singapura masuk semula atau membuat penerbangan khusus dan kemudahan kuarantin khusus pelajar.

Sektor pelajar antarabangsa Australia bernilai sekitar AU$40 bilion (RM127.17 bilion) pada 2019, menjadikannya eksport keempat terbesar di negara ini.

Namun, pandemik COVID-19 menyebabkan jumlah pelajar yang masuk merosot.

Data rasmi baharu menunjukkan pada masa ini terdapat 374,000 warganegara asing yang memegang visa pelajar di Australia – tidak termasuk tanggungan mereka – berbanding dengan 580,000 sebelum pandemik terbabit.

Pada Mac tahun lalu, China merangkumi sekitar 38 peratus pelajar di universiti, sekolah dan kolej vokasional.

Negara sumber utama lain termasuk Vietnam dan Brazil, yang masing-masing menyumbang 13 peratus visa pelajar, serta Indonesia, Korea Selatan dan Colombia, yang masing-masing menyumbang 10 peratus.

Kemerosotan kemasukan antarabangsa secara tiba-tiba memberi kesan teruk kepada universiti di Australia, yang sangat bergantung kepada yuran pelajar asing.

Universities Australia, badan utama universiti Australia, menganggarkan lebih 17,300 pekerjaan hilang di institusi terbabit tahun lalu.

Namun, universiti itu bersama dengan Kerajaan Persekutuan dan Negeri, segera mencari cara untuk membolehkan pelajar antarabangsa kembali, terutama selepas Australia akhirnya memulakan pelaksanaan program vaksinasinya.

Ia dijadual memulakan fasa kedua pelancaran program vaksinasi hari ini, yang membabitkan vaksinasi untuk mereka yang berusia 70 tahun ke atas, serta kumpulan petugas kesihatan yang lebih meluas.

Khamis lalu, hampir 250,000 warga Australia – atau satu peratus penduduk – sudah divaksinasi.

Australia telah memilih Singapura dan New Zealand sebagai rakan berpotensi pertama untuk gelembung perjalanan yang akan membabitkan perjalanan dua hala tanpa kuarantin, berkemungkinan menjelang pertengahan tahun.

Menteri Pelancongan, Dan Tehan, merancang ke Singapura dalam tempoh dua bulan akan datang untuk berbincang mewujudkan sistem sijil vaksin yang memungkinkan perjalanan.

Kementerian Luar Negeri Singapura menyatakan telah membincangkan ‘perjalanan semula dengan keutamaan bagi pelajar dan pelancong perniagaan’ dengan Australia, tetapi menyatakan ia tidak membincangkan ‘konsep pusat kuarantin atau pusat vaksinasi’.

Cadangan untuk perjalanan Singapura-Australia telah mendorong kegembiraan dalam kalangan universiti di universiti Australia, yang menganggapnya sebagai langkah pertama untuk membolehkan pelajar dari seluruh Asia kembali. – AGENSI

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top