Australia puji Malaysia jayakan gencatan senjata Kemboja-Thailand

Australia puji Malaysia jayakan gencatan senjata Kemboja-Thailand

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Australia memuji kepimpinan Malaysia atas kejayaan menjadi pengantara gencatan senjata untuk menamatkan konflik di sempadan Kemboja dan Thailand, bulan lalu.

Pujian itu dizahirkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles.

Marles menyatakan penghargaan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, yang terus menyelaras dan berunding dengan negara anggota ASEAN bagi memastikan pelaksanaan penuh gencatan senjata tersebut.

“Ini menggariskan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan undang-undang, kewujudan bersama secara aman dan kerjasama multilateral dalam mengejar penyelesaian yang adil dan berkekalan,” katanya menurut kenyataan bersama, di sini, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Marles mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Malaysia-Australia Kelima di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kedua-dua Menteri Pertahanan turut mengulangi kebimbangan serius mengenai perkembangan di Laut China Selatan yang menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau itu.

Mereka merujuk kepada tindakan berbahaya dan tidak profesional di laut dan di udara, serta tuntutan maritim yang berlebihan dan tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa.

Justeru, Mohamed Khaled dan Marles menekankan kepentingan kebebasan pelayaran dan penerbangan selaras Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

“Para Menteri menegaskan bahawa tuntutan maritim mestilah konsisten dengan UNCLOS dan menggesa semua negara menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, terutamanya UNCLOS,” katanya.

28 Julai lalu, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin dunia turut memuji peranan dimainkan Malaysia, termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyifatkan kejayaan negara dalam memudah cara perjanjian gencatan senjata sebagai satu tugas yang hebat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top