Miami: Australia mungkin merasakan penyingkiran mereka dari Piala Dunia berlaku terlalu awal selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Mesir, semalam, namun mereka pulang dengan keyakinan tinggi terhadap masa depan hasil kemunculan ramai pemain muda berbakat.
Sebagai wakil terakhir daripada sembilan pasukan Asia yang tersingkir dalam kempen mengecewakan buat benua paling ramai penduduk di dunia itu, Australia memulakan kejohanan dengan penuh bergaya di Vancouver sebelum menamatkannya dengan penuh kekecewaan menerusi penentuan penalti di Dallas.
Kemenangan 2-0 ke atas Turkiye dalam aksi pembukaan memberikan gambaran bahawa Socceroos akhirnya berjaya mengatasi kelemahan utama mereka sejak sekian lama, iaitu ketumpulan jentera serangan.
Penyudah tajam pemain berusia 20 tahun, Nestory Irankunda, serta rembatan jarak jauh Connor Metcalfe, 26, mencetuskan keterujaan penyokong di tanah air dan turut menghasilkan rekod tontonan televisyen yang tinggi walaupun perlawanan berlangsung pada waktu kurang sesuai.
Bagaimanapun, itulah dua gol terakhir yang dijaringkan Australia di Piala Dunia apabila mereka kemudian tewas 0-2 kepada Amerika Syarikat (AS), seri tanpa jaringan dengan Paraguay sebelum mengikat Mesir 1-1 hasil gol sendiri Mohamed Hany.
Ramai beranggapan Australia sebenarnya berhak meraih kemenangan ke atas Mesir dan tidak ramai akan menyalahkan tonggak pertahanan, Harry Souttar serta Lucas Herrington yang gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Herrington, yang baru berusia 18 tahun mempamerkan aksi matang dan tenang di bahagian pertahanan tengah, jauh mengatasi usianya.
Bek sayap Jordan Bos, 23, turut menyerlah bersama Socceroos dan kehilangan khidmatnya akibat kecederaan lutut sebelum tamat babak pertama ketika menentang Mesir jelas menjejaskan corak permainan pasukan.
Herrington dan pemain tengah berusia 21 tahun, Paul Okon-Engstler, yang beraksi dalam kesemua empat perlawanan Australia, turut menjadi anggota skuad yang menjulang Piala Asia Bawah 20 Tahun buat kali pertama tahun lalu.
Jurulatih Tony Popovic mengakui kecewa kerana Australia masih gagal mencatat kemenangan dalam pusingan kalah mati Piala Dunia, namun percaya skuad mudanya memiliki potensi besar sekiranya diberikan lebih banyak minit permainan di kelab masing-masing.
“Saya fikir ini adalah kumpulan yang sangat menarik. Saya sentiasa berkata kami tidak mahu mengehadkan jangkaan atau merendahkan standard, tetapi dalam tempoh empat atau lapan tahun lagi, saya percaya pasukan ini akan menjadi jauh lebih baik.
“Jika melihat kepada barisan serangan kami, kebanyakan pemain yang digunakan musim ini tidak pun beraksi 20 atau 30 perlawanan bersama kelab masing-masing. Jadi kami bangga dengan apa yang mereka capai walaupun kurang masa bermain.
“Apabila mereka menjadi pemain tetap di kelab dan mengekalkan prestasi itu dari tahun ke tahun, itulah yang membuatkan kami teruja kerana kumpulan ini mampu menjadi semakin baik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




