Sydney: Australia akan membina stadium dengan kapasiti 63,000 tempat duduk dan sebuah pusat akuatik tertutup untuk Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, kata pegawai selepas menangguhkan rancangan awal dengan The Gabba akan dirobohkan selepas temasya itu.
Perdana Menteri Queensland, David Crisafulli, mengumumkan pelbagai penambahbaikan Olimpik yang termasuk stadium baru di tengah-tengah bandar Brisbane dan pusat akuatik yang boleh menampung 25,000 penonton.
“Akhinya, Queensland mempunyai rancangan. Masa untuk melaksanakannya sudah tiba. Dan kami akan teruskan dengan rancangan ini,” kata Crisafulli kepada pemberita.
Ibu kota Queensland itu diumumkan menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik 2032 pada bulan Julai 2021, dengan Sukan Olimpik kembali ke Australia untuk kali ketiga selepas Melbourne 1956 dan Sydney 2000.
Dua tahun lalu, kerajaan berhaluan kiri Parti Buruh negeri itu mengumumkan rancangan untuk memperluaskan stadium kriket Gabba yang terkenal dan membina stadium tertutup baru dengan kapasiti 17,000 tempat duduk untuk Sukan Olimpik.
Crisafulli kemudiannya membatalkan rancangan itu semalam dengan berkata Australia akan membazirkan “berbilion-bilion” wang untuk kemudahan sementara yang “tidak mengekalkan warisan.”
Stadium dengan 63,000 tempat duduk itu digembar-gemburkan sebagai tempat bertaraf “kelas dunia” yang juga akan menjadi tuan rumah bagi acara sukan besar lain pada masa depan, termasuk kriket.
Tempat duduk sementara akan meningkatkan kapasiti pusat akuatik negara yang baru itu kepada 25,000, kata kerajaan negeri, yang akan menempatkan acara renang, terjun, polo air, dan sukan lain.
Perkampungan atlet akan dibina berdekatan dengan Brisbane Showgrounds yang sedia ada, manakala dua perkampungan lebih kecil akan terletak di Gold Coast dan Sunshine Coast.
Pegawai juga mengumumkan satu siri penambahbaikan ke atas venue lebih kecil seperti Pusat Tenis Queensland dan Pusat Hoki Gold Coast.
© New Straits Times Press (M) Bhd