Autisme anak syurga, didik mereka dengan agama dan roh al-Quran

Autisme anak syurga, didik mereka dengan agama dan roh al-Quran

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, autisme bermaksud gangguan mental yang mula muncul pada peringkat kanak-kanak dan menyebabkan seseorang berkelakuan tidak normal serta sukar berkomunikasi dengan masyarakat.

Autisme atau gangguan spektrum autisme (ASD) merupakan satu keadaan neurologi yang mempengaruhi cara individu berinteraksi, berkomunikasi dan memproses maklumat.

Dalam ajaran Islam, setiap orang tanpa mengira keupayaan fizikal atau mental termasuk golongan autisme, dianggap sebagai makhluk atau ciptaan ALLAH SWT yang unik dan mempunyai tujuan serta nilai tersendiri.

Seiring dengan peredaran zaman dan penyebaran maklumat yang meluas, masyarakat semakin memahami individu autistik ini dan menerima keberadaan mereka.

NUR ARIF

NUR ARIF

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir dalam masyarakat yang memandang serong terhadap anak-anak autisme ini, luah Nur Arif Jasmin, pelajar peringkat doktor falsafah (PhD) dalam Pengajian Qur’an dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Anak syurga

Beliau yang juga mempunyai autisme itu menjelaskan, kebiasaannya anak autisme ini digelar sebagai anak syurga dalam masyarakat namun didikan terhadap mereka tidak seperti anak syurga.

“Ibu bapa anggap anak autisme ini sebagai anak syurga, kenalah hiasi dan didik mereka sesuai dengan gelaran anak syurga itu.

“Janganlah pakaikan mereka pakaian yang seksi dan kena menutup aurat macam ahli syurga,” katanya pada forum sempena Simposium Solusi Kesihatan Mental daripada Pendekatan Dakwah (SMILED) ASEAN 2025 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Universiti Malaya baru-baru ini.

Tambah penulis buku Fiqh Autisme itu, sekiranya anak autisme tersebut tidak boleh memakai tudung disebabkan masalah sensory (deria), cukup sekadar apa yang mereka mampu pakai namun seboleh-bolehnya menutup aurat.

Mengulas mengenai pandangan serong segelintir masyarakat terhadap anak autisme ini, Nur Arif memberitahu, ramai ibu bapa yang mempunyai anak autisme ini tidak mahu membawa anak mereka ke masjid disebabkan perkara tersebut.

“Jika ibu bapa bawa anak autisme ini ke masjid, mereka asyik kena jeling dengan ahli jawatankuasa masjid yang tua-tua.

“Tak salahkan mereka juga sebab generasi tua ini mereka tidak ada kesedaran baik tentang golongan autisme.

“Oleh sebab itu dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid perlu ada lantikan generasi muda sebab mereka faham mengenai autisme termasuk yang mempunyai masalah dengan sensory bunyi, cahaya dan sentuhan,” jelasnya.

Ikon Anak Istimewa Selangor itu kemudiannya menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW menguruskan orang yang mempunyai masalah kesihatan mental dalam kisah seorang Arab Badwi masuk ke dalam masjid dan kencing di dalamnya.

NUR ARIF (dua dari kanan) bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (dua dari kiri) pada forum sempena SMILED ASEAN 2025 di Universiti Malaya.

NUR ARIF (dua dari kanan) bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan (dua dari kiri) pada forum sempena SMILED ASEAN 2025 di Universiti Malaya.

Ujarnya, ada sahabat Baginda ingin memarahi Arab Badwi tersebut namun dihalang Nabi kerana Baginda tahu orang tersebut tidak waras dan hanya meminta sahabat untuk membersihkan kawasan yang terkena najis itu.

Didik anak autisme ke masjid, ilmu agama

Bercerita mengenai anak autisme yang tidak boleh berada di dalam saf solat kerana masalah sensory sentuhan, Nur Arif menjelaskan, anak tersebut tidak perlu untuk berada di dalam saf bersama orang lain.

“Dia dibenarkan untuk keluar saf dan berpisah dalam saf, itu tidak membatalkan solatnya melainkan hanya makruh.

“Namun bagi orang yang berkeperluan khas macam autisme, dia dimaafkan dan hukumnya harus.

“Bagi ibu bapa yang tahu anaknya agresif juga perlu bawa ke masjid dan didik mereka sedikit demi sedikit. Didik mereka untuk datang juga ke masjid walaupun mereka tiada taklif dan masyarakat kena takrim (muliakan) anak autisme ini,” jelasnya panjang.

Sebaliknya jika anak autisme tidak dididik dengan agama dan akhlak, anak-anak ini akan terjebak dengan gejala sosial yang lain pula.

“Walaupun ibu bapa tidak alim, sekurang-kurangnya tiupkan roh al-Quran dan agama dalam diri mereka,” katanya.

SETIAP orang tanpa mengira keupayaan fizikal atau mental merupakan makhluk ALLAH SWT yang unik dan ada nilainya di sisi Islam. Foto Canva

SETIAP orang tanpa mengira keupayaan fizikal atau mental merupakan makhluk ALLAH SWT yang unik dan ada nilainya di sisi Islam. Foto Canva

Beliau turut mencadangkan agar pihak masjid menyediakan satu bilik khas untuk golongan autisme.

“Kalau anak autisme itu agresif, boleh masukkan dia dalam bilik tersebut untuk bertenang,” katanya.

Power Rangers peneman Nur Arif ketika belajar

KETIKA ditanya mengapa sentiasa membawa Power Rangers, Nur Arif menjelaskan ia merupakan alat bantu belajarnya ketika mempelajari sesuatu ilmu termasuk dalam Fiqh.

“Saya tidak belajar macam pelajar cemerlang yang banyak berada di perpustakaan. Saya menggunakan Power Rangers ke mana-mana untuk membantu saya belajar.

“(Dalam Fiqh), Power Rangers ini mewakili empat imam mazhab yang berlainan dan saya bercakap dengan mereka bagi memudahkan belajar,” katanya.

Sebagai contoh katanya, dalam bab zakat harta kanak-kanak, mazhab Hanafi berpandangan kanak-kanak tidak diwajibkan untuk mengeluarkan zakat kerana mereka bukan mukalaf.

“Tapi mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie pula cakap, ibu bapa wajib mengeluarkan zakat untuk harta kanak-kanak tersebut,” katanya.

Perbuatannya belajar menggunakan Power Rangers itu seakan-akan seorang kanak-kanak bermain dengan patung permainannya, namun itulah kelebihan Nur Arif.

Scroll to Top