Kuala Lumpur: “Siapa usik Suraya (saya), Suraya akan usik balik,”.
Demikian kata pengacara, Elly Mazlein meluahkan rasa terkilan dengan sikap seorang individu yang tidak disebut namanya, yang memprovokasinya.
Elly yang juga selesa dengan panggilan Kak Lina Pom Pom dan Suraya berkata, dia juga tertanya-tanya apakah niat individu itu memprovokasinya.
“Kadang-kadang, kita ini kalau baik sangat orang pijak-pijak sampai lumat kita punya kepala lutut. Tapi, sekarang ini, saya rasa saya taknak dah begitu. Sebab apa, saya sebenarnya tak suka sangat ambil tahu hal orang.
“Tapi, itulah. ‘Sehelai’ dua ini tak habis-habis sibuk pasal saya. Saya tertanya-tanya juga, apa hebatnya saya ini sampai saya ini tak keluar dari dalam kepala otak dia.
“Itulah susahnya menjadi nombor ‘syatu’. Tak apa. Walau bagaimanapun saya akan kekal menjadi nombor ‘syatu’ walaupun pelbagai usik mengusik di luar sana.
“Tapi, itulah sayang. Seelok-eloknya kita ini lebih-lebih lagi kaum wanita, Muslimah pula, kenalah jaga diri dan jaga mulut. Jangan buat orang dan jangan memprovokasi orang,” katanya.
Menurut Elly, dia boleh dibawa bergurau sekiranya individu itu adalah dalam kalangan rakan-rakan rapatnya.
“Saya ini bukannya tak boleh bergurau. Dengan kawan-kawan sejagat, dengan kawan-kawan rapat, kawan-kawan yang masih berkawan, memang saya tak kisah. Gurau kasar pun tak ada masalah.
“Tapi, yang ini dia kategori apa ya? Dia kategori tak tahulah nak cakap. Segala-galanya berpunca daripada pasal rezeki saja. Pasal rezeki pun nak berdengki. Tak baik,” katanya.
Tambah Elly, rezeki semua manusia sudah ditetapkan oleh Allah dan kita sebagai manusia tak perlu menyimpan rasa hasad dengki sekiranya orang lain dikurniakan rezeki.
“Saya ini tak adalah pandai sangat, tapi ada juga belajar, kan. Dengarlah juga walaupun tidak bertutup litup, pergi dan dengar jugalah kelas agama di mana rezeki ini tak payah nak kalut sebab Allah dah tentukan rezeki semua orang. Cuma cepat dengan lambat saja.
“Sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Kita orang Islam. Malulah pasal rezeki pun nak huru hara, nak berdengki sana sini, rancang sana sini mak menjatuhkan orang. Janganlah begitu.
“Carilah rezeki sama-sama. Bidang kita ini bukan besar sangat pun. Kecil saja. Yang paling penting adalah kita ini sesama Islam,” katanya.
Di Instagram Story, Elly memuat naik beberapa hantaran berkaitan harapannya agar tidak menjadi pengacara yang gemar menyindir orang lain dalam program TV.
“Moga ‘kepom’ (saya) tidak menjadi pengacara seperti ini, suka membahan dan memerli. Moga kasih sayang terus kekal di dalam diri saya ‘kepom’ selamanya buat sesama insan.
“Haziq Hussni, buat yang terbaik ya. Lebarkan sayapmu,” tulisnya.
Keterangan itu dimuat naik di Instagram Story bersama potongan video pendek yang memaparkan gandingan pengacara Haziq Hussni dan Jihan Muse.
Satu lagi hantaran Instagram Story Elly memaparkan keterangan mengenai kandungan lawak menyanyi berulang kali yang dibandingkan dengan lawak ulang main nama bapa serta sindiran berulang kali.
“Biarlah lawak menyanyi berulang-ulang kalau dengan cara itu boleh menghiburkan, daripada lawak berulang-ulang main nama bapa, memerli dan membahan.
“Paling tak menahan, lawak tahu lalat Chipsmore berulang-ulang dari musim pertama sampailah musim puluh-puluh.
“Aduh. Inilah contoh ‘menutup’ hanya hiasan, untuk menutup bangkai di longkah. Penunggang 2024. Sekian. Tajuk album, Lupakan Aku di dalam Kepala Otak Kau, boleh?” tulisnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




