Awas 'scam' kuih dan juadah raya, 7 kes dikesan di Perak

Awas 'scam' kuih dan juadah raya, 7 kes dikesan di Perak

am@hmetro.com.my

Gopeng: Polis Perak mengesan tujuh kes penipuan (scam) yang menggunakan modus operandi tempahan kuih raya dan juadah Aidilfitri yang menyebabkan kerugian keseluruhan hampir RM300,000 tahun ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sindiket itu menyasarkan peniaga makanan terutama pengusaha katering dan pastri dengan membuat tempahan makanan atau kuih dalam jumlah tertentu sebelum memperdaya mangsa untuk membuat bayaran kepada pihak ketiga.

Menurutnya, susupek akan membuat tempahan katering sebelum turut memesan item yang tidak disediakan dalam inventori mangsa sebelum menyuruh mangsa menghubungi pula individu tertentu yang kononnya mampu menyediakan item terbabit.

“Dia akan menghubungi mangsa sekali lagi untuk item yang dia tahu mangsa tidak buat, contohnya nak tempah keris.

“Jadi bila katering atau pastri ni kata tak boleh buat maka dia (suspek) akan mengusulkan satu nombor telefon pula untuk mangsa menghubunginya.

“Nombor yang diberikan kepada pengusaha itu juga sebenarnya adalah scammer yang kononnya keris itu boleh ditempah melaluinya.

“Selepas bayaran dibuat pengusaha itu barulah mangsa sedar sudah ditipu.

“Jadi dalam kes sebegini mangsa menanggung dua kerugian iaitu kerugian menyediakan kek atau juadah yang ditempah dan kerugian selepas membuat pembayaran kepada scammer (suspek) yang kononnya pihak ketiga tadi,” katanya.

Noor Hisam berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 26 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Perak di sini hari ini.

Katanya, modus operandi terbabit sebenarnya sudah dikesan sejak tahun lalu dengan 66 kes penipuan direkodkan di negeri ini.

“Memang ini adalah MO (modus operandi) terbaru yang kita lihat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top