KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Awesome TV untuk membayar RM704,000 kepada syarikat produksi, Pencil Pictures and Records Sdn. Bhd. kerana gagal mematuhi perjanjian pembayaran drama ‘Di Sebalik Dia’.
Menurut peguam Nur Afiqah Mohd. Ashriee yang mewakili syarikat produksi itu, Hakim Datuk Kenneth Yoong Ken Chinson St James turut memerintahkan Awesome TV atau Awesome Media Networks Sdn. Bhd. yang dinamakan sebagai defendan untuk membayar kos sebanyak RM90,000.
Mahkamah turut mengenakan faedah sebanyak lima peratus setahun bermula dari tarit saman difailkan oleh Penil sehingga penyelesaian penuh.
Dalam prosiding yang dijalankan secara Zoom pada 29 Mei lalu, Nur Afiqah memberitahu, mahkamah juga menolak tuntutan balas Awesome TV yang menuntut ganti rugi melebihi RM142 juta daripada plaintif (Pencil).
“Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah menyatakan plaintif telah menyerahkan 26 episod drama Di Sebalik Dia kepada Awesome TV dan telah ditayangkan di stesen televisyen berkenaan. Sepanjang penghantaran 26 episod dan semasa tayangan di televisyen, Awesome TV tidak pernah membantah atau mempertikaikan mengenai kelewatan penghantaran drama.
“(Bagaimanapun) apabila Pencil hantar invois secara berperingkat (by batch) kepada Awesome TV, syarikat televisyen itu tidak membuat bayaran atau membuat bantahan terhadap invois tetapi tiba-tiba menghantar notis penamatan.
“Mahkamah menyatakan bahawa notis penamatan itu yang meletakkan tarikh terkebelakang (backdated) iaitu 24 November 2011 dan dihantar kepada Pencil pada 9 Januari 2023 adalah sesuatu yang difikirkan kemudian (afterthought),” jelas peguam itu.
Selain Nur Afiqah, plaintif turut diwakili oleh peguam, Aizul Rohan Anuar manakala Awesome TV diwakili peguam, Mohamad Farhan Shafee.
Selain itu, peguam itu menjelaskan bahawa, Hakim Kenneth dalam penghakimannya menyatakan, tuntutan balas yang dibuat oleh Awesome TV atas dakwaan Pencil lambat menghantar drama tersebut tidak pernah dipertikaikan dan tiada sebarang notis berhubung caj lewat penghantaran diberikan kepada plaintif.
“Awesome TV hanya maklumkan nak buat tuntutan dalam surat jawapan terhadap surat tuntutan plaintif,” ujar peguam itu.
Menurut saman yang difailkan oleh Pencil pada 27 Februari 2023, Pencil dan Awesome TV telah menandatangani perjanjian jual beli pada 13 Februari 2022 untuk pembekalan 28 episod drama Di Sebalik Dia berjumlah bernilai RM1.12 juta atau RM40,000 bagi setiap episod.
Selepas perjanjian itu ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak, Awesome TV telah membayar 30 peratus atau RM336,000 daripada nilai drama tersebut.
Bagaimanapun, selepas mempertimbangkat pelbagai aspek termasuk kualiti dan mementum drama tersebut, plaintif memutuskan untuk mengurangkan jumlah episod daripada 28 kepada 26 episod. Pengurangan itu telah dimaklumkan kepada wakil defendan (Awesome TV) secara bertulis dan tiada bantahan ditimbulkan oleh stesen televisyen itu.
Selepas drama tersebut selesai ditayangkan, plaintif kemudian telah mengeluarkan invois terkini (selepas pengurangan episod) berjumlah RM704,000 kepada defendan. Bagaimanapun Awesome TV telah gagal atau cuai membuat sebarang bayaran walaupun beberapa permintaan dan notis peringatan telah dikeluarkan.
Pada 9 Januari 2022, defendan telah menghantar emel kepada Pencil yang turut melampirkan surat penamatan perjanjian bertarikh kebelakang (backdated) atas dakwaan perjanjian jual beli tersebut telah ditamatkan ekoran pelanggaran material oleh plaintif.
Oleh itu, plaintif antara lain menuntut baki bayaran tertunggak berjumlah RM704,000, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Berdasarkan tuntutan balas yang difailkan oleh Awesome TV bertarikh 15 Mac 2023, defendan mendakwa Pencil telah melanggar perjanjian tersebut apabila gagal membekalkan 28 episod drama berkenaan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Defendan mendakwa, secara keseluruhan, plaintif telah lewat menghantar episod-episod drama mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu selama 637 hari dan sehubungan itu, Awesome TV menuntut caj penghantaran lewat iaitu kira-kira RM224,000 sehari menjadikan jumlah tuntutan sebanyak RM142.688 juta.-UTUSAN




