Awet muda cara Noryn

Awet muda cara Noryn

am@hmetro.com.my

PENYANYI yang dikenali dengan irama jazz, Noryn Aziz, 49, mengakui dia mengamalkan rutin senaman dan menjaga pemakanan untuk memastikan tahap stamina dan dirinya awet muda pada usia sekarang.

Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd Aziz berkata, dia juga berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan pada setiap tahun.

“Sebenarnya, saya memang dari zaman muda lagi sudah melakukan senaman dan menjaga pemakanan. Kalau tidak buat senaman, badan tidak berasa fit.

“Sebagai penyanyi, lagilah saya kena jaga badan kerana saya cari makan dalam bidang nyanyian.

“Cuma pada usia sekarang, saya kena lebihkan lagi senaman kerana bila usia meningkat memang susah sikit nak turunkan berat badan. Saya ambil nasi tapi dalam kuantiti kecil,” katanya kepada Harian Metro.

Noryn juga berjumpa doktor untuk mendapat nasihat mengenai fasa yang akan dilalui wanita bila sudah berusia.

“Saya belum mengalami fasa itu tapi ada wanita yang mengalami menopaus lebih awal kerana sebab pemakanan dan gaya hidup kerana setiap wanita tubuhnya berbeza.

“Selain ambil suplemen hormon, saya juga buat yoga setiap hari pada waktu petang dan senaman di mesin treadmill setengah jam setiap hari untuk menjaga kesihatan pada usia sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi perkembangan karier seninya pula, kata Noryn, dia dalam perancangan untuk menyiapkan bingkisan album penuhnya.

“Saya rindu mahu menghasilkan album berbanding dengan single. Mengikut perancangan, saya akan hasilkan mini album yang memuatkan lima lagu.

“Kerja untuk pembikinan album sudah dimulakan dan tengah tunggu pemuzik. Penerbit album juga tengah siapkan lagu untuk saya masuk studio untuk proses rakaman nanti.

“Saya juga mahu bekerja dengan komposer yang pernah bekerjasama sebelum ini,” katanya yang menempa nama menerusi lagu Fantasi O Realiti itu.

Ditanya konsert pula, kata Noryn, dia dalam perancangan untuk buat showcase terlebih dahulu.

“Insya-Allah, kalau boleh saya mahu buat showcase itu pada tahun ini. Mungkin pada hujung tahun nanti.

“Maklumlah, saya sudah lama tidak buat persembahan mahupun konsert.

“Kali terakhir ialah Konsert Soul Sisters anjuran Edd Razhe Entertainment bersama penyanyi Misha Omar dan Allahyarham Siti Sarah yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 dan 6 April 2019,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top