KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd dan anak syarikat 66.48 peratus miliknya, PT XL Axiata Tbk memeterai kertas terma tidak mengikat untuk cadangan pengambilalihan kira-kira 66.03 peratus kepentingan dalam PT Link Net Tbk (Link Net) Indonesia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata berkata syarikat dan PT XL Axiata Tbk menandatangani perjanjian dengan Asia Link Dewa Pte Ltd dan PT First Media Tbk untuk memudahkan perbincangan dan rundingan untuk potensi pengambilalihan 1.82 bilion saham dalam Link Net.
Link Net terbabit dalam aktiviti telekomunikasi melalui kabel, penyedia perkhidmatan Internet, perkhidmatan sistem komunikasi, perkhidmatan akses rangkaian, perkhidmatan multimedia lain, perkhidmatan tambah nilai telefon, perdagangan, aktiviti rundingan pengurusan dan aktiviti pusat panggilan.
Kumpulan itu kini menyediakan perkhidmatan melalui rangkaian komunikasi jalur lebar termasuk pengedaran program televisyen dan Internet berkelajuan tinggi melalui rangkaian di Jakarta, Bogor, Tangerang, Bekasi, Surabaya, Bali, Bandung, Medan, Batam, Solo, Semarang, Serang dan Cilegon, demikian menurut Axiata.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




