mahanum_aziz@bh.com.my
Kuala Lumpur: Axiata Group Bhd (Axiata) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM364.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, 61.5 peratus lebih rendah berbanding RM946.8 juta pada tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatannya juga merosot kepada RM11.8 bilion berbanding RM12.5 bilion berikutan kesan terjemahan tukaran mata wang asing yang kurang memuaskan berikutan penurunan nilai mata wang syarikat operasinya berbanding ringgit.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2025, kerugian bersih Axiata mengecil kepada RM38.7 juta berbanding RM224.8 juta, sementara pendapatannya pada suku itu berada pada paras RM2.98 bilion.
Sepanjang tahun kewangan itu, Axiata menerima pulangan pemegang saham yang kukuh, dengan dividen sebanyak RM1.7 bilion.
Kumpulan mengisytiharkan dividen kedua sebanyak 5.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 kepada 10.0 sen sesaham, disokong oleh aliran tunai yang kukuh dan lembaran imbangan yang lebih sihat.
Pada sidang media secara maya, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Axiata, Vivek Sood, berkata tahun 2025 menandakan berakhirnya fasa kritikal dalam transformasi syarikat menerusi penyempurnaan Strategi Axiata 5*5.
Menurutnya, sepanjang tiga tahun lalu, kumpulan berjaya memperkukuh teras syarikat operasi, meningkatkan daya tahan kewangan serta mempertajam fokus strategik merentasi pasaran.
“Pelaksanaan yang berdisiplin membolehkan kami meningkatkan prestasi, mengukuhkan aliran tunai dan seterusnya memperkasakan lembaran imbangan kumpulan.
“Dengan konsolidasi pasaran utama selesai dan integrasi berjalan lancar, syarikat operasi kini berada pada kedudukan kukuh untuk menjana aliran tunai mampan dalam struktur pasaran yang lebih rasional,” katanya.
Menuju ke depan, Vivek berkata, Axiata akan menumpukan transformasi portfolio perniagaannya untuk pertumbuhan dan menjana pulangan yang baik kepada pemegang saham di bawah Axiata28: Strategi Memajukan Asia.
Beliau berkata, pihaknya akan memberi tumpuan kepada dua portfolio perniagaannya iaitu telekomunikasi dan teknologi.
Menurutnya, perniagaan telekomunikasi akan memacu pertumbuhan keuntungan dan penilaian, sementara teknologi pula mempercepatkan penciptaan nilai.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada pelaksanaan stabil, peruntukan modal berdisiplin serta pengurusan aktif dalam perniagaan telekomunikasi, yang akan memacu pertumbuhan keuntungan dan penilaian, sementara teknologi pula mempercepatkan penciptaan nilai.
Menurutnya, pendekatan secara kolektif akan meningkatkan pulangan dan memacu pertumbuhan mampan berasaskan hasil kepada pemegang saham.
Axiata juga menjangkakan sinergi penggabungan, kepimpinan pasaran 5G dan pengewangan aset infrastruktur akan memacu pertumbuhan pendapatan dan menyokong sasarannya untuk mencapai sekurang-kurangnya 10 peratus pertumbuhan dividen tahunan pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




