“Ayah Dah Janji Nak Ambil Keputusan SPM Bersama, Tapi Allah Lagi Sayang Dia…” – Anak Along Eyzendy

“Ayah Dah Janji Nak Ambil Keputusan SPM Bersama, Tapi Allah Lagi Sayang Dia…” – Anak Along Eyzendy

Anak sulung kepada pelakon, allahyarham Along Eyzendy iaitu Eyman meruntun jiwa ramai apabila meluahkan rasa rindu terhadap bapanya.

Menerusi perkongsian di TikTok miliknya, Eyman mendedahkan Along pernah berjanji untuk mengambil keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersama, namun reda bapanya dijemput Illahi terlebih dahulu.

“Ayah saya memang dah lama dimasukkan dalam wad tapi tak beritahu sesiapa.

“Sebelum balik asrama saya sempat pergi melawat, dia janji nak ambil keputusan SPM dengan saya, tapi Allah lagi sayang dia.

“Rindu ayah sangat-sangat,” katanya.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata neitizen meluahkan rasa sebak serta menzahirkan ucapan doa buat Allahyarham Along Eyzendy.

Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Masai, Pasir Gudang, Johor pada jam 9.30 pagi Ahad.

Terdahulu, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang pada Jumaat lalu akibat demam serta batuk berpanjangan.

Keadaan kesihatannya bagaimanapun merosot apabila doktor mengesyaki berlaku jangkitan kuman pada stent di saluran hempedu.

Along atau nama sebenarnya Mohd Eyzendy Mohd Aziz, 47, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.16 tengah malam Ahad di sisi ahli keluarga selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Untuk rekod, pada 2019 arwah pernah disahkan mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang pada 15 April 2021 hasil sumbangan organ daripada isterinya sendiri.

Artikel Berkaitan: “Kena Kuat Untuk Anak-Anak…” – Pesanan Terakhir Along Eyzendy Buat Isteri Sebelum Pergi Selamanya Meruntun Jiwa

Scroll to Top