razis@mediaprima.com.my
Seawal jam 5.30 pagi, Khairul Abdullah sudah bangun untuk menyiapkan sarapan dan bekalan buat tiga anaknya ke sekolah.
Di dapur, Khairul dilihat tidak lincah dan tangkas menyediakan hidangan dalam masa singkat sebelum mengejutkan anak-anaknya bangun untuk bersiap ke sekolah.
Bukan itu sahaja, Khairul tidak kekok untuk melakukan pelbagai kerja rumah seperti membasuh pakaian, mengemas rumah dan menguruskan anak-anak.
Demikian antara rutin harian yang dilalui Khairul bersama tiga anaknya, Khaleef, 11, Khaleel, 9 dan Khaleed, 7 tahun.
Selepas kematian isteri secara mengejut akibat jangkitan kuman dalam darah pada Ogos 2018, Khairul yang juga perunding takaful bukan sahaja perlu menjalankan tanggungjawab sebagai bapa, malah mengambil alih peranan sebagai ‘ibu’ kepada tiga anaknya.
Lebih mencabar, dia diuji dengan anak sulung, Khaleef didiagnos autisme dengan gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) dan menghidap penyakit jantung, Khaleel pula mengalami tekanan perasaan dan Khaleed disahkan mengalami selective mutism (bisu terpilih).
Biarpun berdepan pelbagai cabaran, berpegang pada janji dengan arwah isteri, Khairul nekad untuk menjaga ketiga-tiga anaknya secara sendirian sehingga hari ini.
Khairul berkata, sehari selepas isterinya meninggal dunia, dia terus membuat keputusan berhenti kerja untuk memberi tumpuan terhadap anaknya.
Katanya, pada ketika itu, semua anaknya masih kecil dan memerlukan perhatian sepenuhnya selepas kehilangan kasih sayang ibu.
“Pada hari pertama bergelar bapa tunggal, saya sudah tetapkan pendirian akan menjaga semua anak sendirian dan tidak akan pisahkan mereka biarpun saya ditawarkan bantuan daripada ibu dan ayah di kampung.
“Saya nekad untuk terus beri notis berhenti bekerja 24 jam sebagai pereka di sebuah syarikat swasta kerana ingin memberikan sepenuh tumpuan kepada anak-anak di rumah.
“Keutamaan saya adalah anak-anak. Alhamdulillah, dengan pekerjaan sekarang, saya bebas bekerja di mana-mana sahaja dan boleh menguruskan masa mengikut kesesuaian,” katanya.
Baginya, tahun pertama selepas anak-anak kehilangan ‘mommy’ mereka, adalah tempoh paling mencabar yang perlu dihadapi sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak.
“Pada hari isteri meninggal, anak-anak yang masih kecil pada ketika itu agak ‘blur’ dan tidak boleh hadam apa yang berlaku sebaik dimaklumkan ibu mereka sudah tiada.
“Hanya pada hari berikutnya, saya perasan perubahan anak sulung yang lebih banyak mendiamkan diri dan tidak makan. Manakala anak kedua yang pada ketika itu berusia dua tahun menangis dan menjerit setiap malam, mencari ibunya sehingga saya terpaksa dapatkan bantuan pakar psikiatri.
“Setiap hari, saya terangkan kepada mereka tanpa berselindung berkenaan kematian untuk berikan kefahaman kepada anak-anak. Alhamdulillah selepas setahun, anak-anak sudah dapat menerima kenyataan ibu mereka sudah tiada. Cuma, Khaleel sehingga kini masih lagi menangis setiap kali bercerita berkenaan ibunya,” katanya.
Khairul berkata, ramai yang bertanya berkenaan rahsia dia dapat bertahan sehingga hari ini menjaga segala keperluan anak-anaknya dengan baik secara sendirian.
“Sebenarnya saya sudah dilatih oleh arwah isteri untuk menjadi ‘ibu’ kepada anak-anak ini sejak memperoleh cahaya mata pertama lagi dengan melakukan pelbagai kerja rumah dan menguruskan anak termasuk memasak, menukar lampin, memotong kuku dan mengemas rumah. Isteri hanya tidak benarkan saya membasuh pakaian
“Jadi, apabila isteri pergi secara tiba-tiba, tiada sebarang ketakutan atau ‘blur’ kerana saya sudah mahir lakukan semua kerja rumah. Cuma, saya akui rasa agak berat, keseorangan dan kesunyian apabila perlu membesarkan anak sendirian,” katanya.
Bagaimanapun, tidak dinafikan untuk permulaan itu, dia tetap berdepan cabaran untuk mengawal emosi dirinya dan anak-anak.
“Pada tahun pertama, saya mengalami stres dan keletihan melampau kerana ingin melakukan semua perkara dalam masa sama sehingga terpaksa dapatkan bantuan pakar psikiatri,” katanya.
Khairul mengakui bukan mudah untuk memakai ‘topi’ sebagai ibu dan bapa dalam satu-satu masa.
“Sebagai ‘ibu’, saya berperanan memberikan sepenuhnya kasih sayang dengan peluk cium dan layan apa sahaja kehendak mereka. Pada masa sama, saya juga perlu menjadi ayah, di mana perlu tegas dan marah apabila perlu.
“Saya kena bawa kedua-dua karakter ini (ibu dan ayah) yang sebenarnya tidak mudah. Namun, saya cuba sehabis baik untuk memastikan anak-anak mendapat perhatian dan kasih sayang secukupnya,” katanya.
Mengulas lanjut, dia sentiasa mencari jalan untuk mengeratkan hubungannya dengan anak-anak.
“Sudah menjadi rutin, selepas lampu ditutup, saya akan bersembang dengan anak-anak dengan memberitahu saya ambil berat dan sayangkan mereka. Saya juga sentiasa ungkapkan ayat ‘I love you’ terhadap anak-anak dan meminta maaf sekiranya membuatkan mereka terasa hati atau terkurang layan.
“Saya juga ajarkan mereka lakukan perkara sama kepada saya dan apabila sudah terbiasa, anak-anak tidak janggal untuk ungkapkan ayat ‘I love you’ dan meminta maaf sama ada kepada saya atau dengan adik-beradik lain,” katanya.
Katanya, sepanjang tujuh tahun menjadi bapa tunggal kepada tiga anak, pelajaran paling bermakna yang diperoleh adalah betapa sukar menjadi ibu dan apatah lagi suri rumah.
“Selepas memikul tanggungjawab ini menjadi ibu dan suri rumah baru saya sedar, ini adalah tugas yang memenatkan dan membebankan apatah lagi yang bekerjaya kerana boleh memberi cabaran kepada mental dan fizikal.
“Sebab itu saya selalu nasihatkan pengikut saya di media sosial supaya sentiasa hargai dan bantu isteri untuk bersama-sama menguruskan keluarga,” katanya.
Beliau turut berkongsi nasihat kepada individu yang senasib dengannya supaya reda menerima segala ketentuan takdir dengan penuh kerelaan hati.
“Dengan keredaan, kita akan lebih lega untuk mencorak masa depan diri dengan anak-anak. Sekiranya tertekan, tidak salah untuk dapatkan bantuan keluarga atau rakan-rakan.
“Selain itu, tidak kira sama ada suami atau isteri perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran seperti memasak, memandu dan menguruskan anak, kerana sekiranya perkara yang tidak diingini berlaku, kita sudah bersedia berdepan segala kemungkinan,” katanya.
Β© New Straits Times Press (M) Bhd