'Ayah saya meninggal di lokasi sama di Sungai Korok, 37 tahun lalu'

'Ayah saya meninggal di lokasi sama di Sungai Korok, 37 tahun lalu'

am@hmetro.com.my

Jitra: Tragedi enam beranak yang ditemukan lemas dalam Proton Iswara di terusan Sungai Korok, Isnin lalu, mengingatkan semula kejadian sama pernah berlaku kepada bapa Nazriah Abd Razak, 46.

Nazriah yang juga seorang guru berkata, kejadian yang menimpa bapanya, Abd Razak Osman berlaku pada 15 Jun 1988 ketika itu berusia 38 tahun di lokasi sama enam beranak itu ditemui.

Mengimbas semula kejadian itu, Nazriah berkata, kejadian berlaku ketika bapa dan dua rakannya dalam perjalanan dari arah Jerlun menghala ke Pekan Jitra kira-kira jam 6 pagi.

Katanya, ketika itu mereka hendak ke Alor Setar kerana mempunyai urusan tetapi hendak singgah di Pekan Jitra terlebih dulu menggunakan laluan itu.

Bagaimanapun, kereta yang dipandu rakan bapanya itu terbabas lalu terjunam ke dalam terusan Sungai Korok.

“Mayat ketiga-tiga mereka ditemui masih dalam kereta kira-kira dua jam selepas kejadian dan mereka dipercayai meninggal dunia akibat lemas.

“Masa tu saya kecil lagi baru berusia sembilan tahun manakala abang yang sulung berusia 15 tahun. Adik bongsu pula berusia dua tahun dan waktu itu kami menetap di Perlis,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Menurutnya, mereka hanya mengetahui kejadian menimpa bapanya selepas dua anggota polis datang ke rumah dan memaklumkan kejadian.

Katanya, ibunya, Khatijah Abdullah, 72, ketika itu berusia 35 tahun hampir pengsan sebaik dimaklumkan bapa mereka meninggal dunia dalam tragedi itu.

“Mak tak bekerja dan ayah meninggalkan kami tujuh beradik yang masih kecil ketika itu.

“Puas juga datuk bawa emak berubat kerana sejak kejadian itu dia tidak banyak bercakap kerana kekuatannya hilang sejak ayah meninggalkan kami.

“Kini selepas 37 tahun berlalu, kami dikejutkan dengan tragedi enam beranak ditemukan meninggal dunia dalam kejadian sama seperti yang dialami ayah,” katanya.

Nazriah yang kini bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Bonglai, di sini, berkata, kejadian yang berlaku baru-baru ini sangat menyedihkan kerana terdapat seorang bayi lelaki berusia enam bulan serta tiga kanak-kanak yang masih kecil dalam kereta.

Katanya, dia terutama ibunya akan teringat kejadian yang berlaku pada arwah bapa setiap kali melalui kawasan terusan Sungai Korok sepanjang 15 kilometer dari Pekan Jitra ke Jerlun itu.

“Mak langsung tak boleh tengok atau dengar berita orang jatuh sungai di situ kerana automatik dia akan teringat arwah ayah.

“Kini hanya gambar lama ayah yang masih disimpan menjadi pengubat rindu untuk kami adik beradik selain laporan berita akhbar berkaitan tragedi yang melanda ayah ketika itu,” katanya.

Nazriah berkata, paling rapat dengan bapanya adalah adik bongsu dan ketika tragedi itu berlaku, hanya dua hari lagi dia hendak menyambut hari lahirnya.

“Kami semua pun rapat dengan arwah ayah tetapi adik paling manja dengannya.

“Sepatutnya saya ikut ayah bersama pada hari kejadian, tetapi ayah tak bagi sebab saya demam masa tu dan dia beritahu dia hendak pergi jauh,” katanya.

Nazriah berkata, jenazah bapanya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya, Pokok Sena.

Katanya, setiap kali dia melalui kawasan terusan Sungai Korok itu, dia akan memperlahankan kenderaan yang dipandunya kerana bimbang sesuatu buruk berlaku.

“Kawasan ini tiada lampu jalan, kalau ada lampu memang baik malah banyak kemalangan yang berlaku di sini biasanya akibat kecuaian manusia, micro sleep (terlelap) atau mengantuk,” katanya.

Dalam kejadian Isnin lalu, enam sekeluarga ditemukan lemas dalam kereta di terusan Sungai Korok selepas mereka gagal dikesan sejak awal pagi Sabtu lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top