Ayam rendam air panas: Radzi gesa dedah nama syarikat proses ayam di Puchong

Ayam rendam air panas: Radzi gesa dedah nama syarikat proses ayam di Puchong

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa wajib mempercepatkan siasatan dan mendedahkan maklumat berkaitan kepada orang awam, termasuk nama syarikat mengendalikan pusat pemprosesan ayam yang diserbu di Puchong, Selangor, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, berkata tindakan itu penting memandangkan ia adalah kepentingan pengguna khususnya umat Islam.

“Saya masih menunggu pihak berkuasa mendedahkan nama syarikat yang mengendalikan pusat pemprosesan ayam yang diserbu di Puchong.

“Ayam dipercayai diproses dengan merendam ayam hidup ke dalam air panas sehingga mati sebelum disembelih,” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Lebih membimbangkan, katanya, ayam yang diproses dipercayai diedarkan ke restoran, kedai runcit dan pasar raya di Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana dan Putrajaya.

“Rakyat berhak mengetahui nama pengusaha, nama syarikat, lokasi sebenar pusat pemprosesan, nama pengedar serta ke mana ayam itu dibekalkan atau dijual kepada pengguna,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan persijilan halal dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, tengah malam kelmarin.

Turut ditahan dalam Op Taring Chiller itu 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan.

Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar dilaporkan berkata, premis itu disyaki dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa sijil halal sah.

Beliau berkata, pemeriksaan awal menemukan proses pengendalian dan penyembelihan ayam yang menimbulkan keraguan serius terhadap pematuhan hukum syarak serta status halal produk berkenaan.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati ayam dipercayai melalui proses rendaman air panas sehingga mati sebelum proses penyembelihan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top