bhnews@bh.com.my
LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mematahkan cubaan menyeludup ayam sabung dan murai batu bernilai RM870,000 dalam operasi berdekatan perairan Pulau Anak Datai di sini, semalam.
Pengarah Maritim Malaysia Kedah/Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata dalam operasi pada jam 12.30 tengah malam itu, pihaknya merampas 71 ayam sabung dan 40 burung murai batu hidup yang cuba diseludup sindiket.
Turut dirampas dalam Op Aman/Benteng itu termasuk 20 tong petrol dan 533 pokok kaktus pelbagai saiz dipercayai cuba diseludup ke Indonesia dari Thailand.
“Dalam operasi berkenaan, kita mengesan bot gentian kaca yang dipercayai menjadikan perairan Selat Chinchin, Langkawi sebagai pusat transit memindahkan bahan terlarang untuk diseludup ke negara jiran.
“Seramai tiga lelaki warga Indonesia berusia antara 35 dan 42 tahun yang berada di dalam bot terbabit turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Jeti Martim Malaysia, Bukit Malut, hari ini.
Mohd Zawawi berkata, siasatan mendapati aktiviti menyeludup haiwan hidup dari Thailand ke Indonesia bukan kali pertama dilakukan sindiket terbabit memandangkan permintaan tinggi di negara berkenaan.
“Tiga suspek yang ditahan juga gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri sah serta permit untuk membawa keluar ayam sabung dan murai batu. Di pasaran Indonesia, harga ayam sabung boleh mencecah sehingga RM10,000 seekor, manakala murai batu RM4,000 seekor bergantung kepada kualiti,” katanya.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot yang dilengkapi dua enjin dianggarkan bernilai lebih RM1 juta.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa dokumen sah dan Akta Binatang 1953 kerana mengimport tanpa permit.
“Ketiga-tiga suspek turut disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana memburu atau menyimpan mana-mana hidupan liar yang dilindungi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



